your code goes here

Maksud Zaman Air Batu: Tingkatan 1 Bab 2 KSSM

Maksud Zaman Air Batu Lengkap - Dunia pada hari ini wujud kesan daripada perubahan fizikal bumi yang berlaku semenjak jutaan tahun dahulu. Perubahan fizikal bumi dipengaruhi oleh iklim. Pada awalnya, bumi mengalami suhu yang amat sejuk.

Maksud Zaman Air Batu Lengkap
idntimes.com

Bumi pada masa itu dikenali sebagai Zaman Air Batu yang wujud dalam garis masa antara 2.5 juta tahun hingga 10,000 tahun.

Perubahan suhu bumi yang sejuk kepada panas menyebabkan berlakunya kecairan air batu. Perubahan ini menyebabkan bumi mengalami beberapa tahap peralihan zaman yang menyebabkan suhu bumi berada pada suhu hari ini.

Bumi juga mengalami banyak perubahan dan perkembangan hidupan seperti yang wujud sehingga hari ini.

Pengetahuan tentang sejarah bukan sahaja membolehkan kita mengenali diri kita tetapi juga memahami tentang dunia. Dunia merupakan bumi tempat tinggal kita dan tempat tinggal berjuta-juta hidupan yang lain.

Bumi pada hari ini telah melalui pelbagai perubahan yang memberikan kesan terhadap rupa bentuk fizikal, iklim, cuaca, hidupan yang ada dan kedalaman lautan.

Iklim telah mempengaruhi perubahan bentuk fizikal bumi menjadi daratan dan lautan. Daratan terdiri daripada gunung, banjaran dan bukit, tanah pamah, lembah dan sungai. Lautan pula terdiri daripada laut, selat dan teluk.

Lautan merupakan kawasan air masin yang meliputi 71 peratus bentuk muka bumi. Terdapat lima lautan di dunia, iaitu Lautan Pasifik, Lautan Atlantik, Lautan Hindi, Lautan Selatan dan Lautan Artik.

Selat pula merupakan kawasan perairan sempit yang memisahkan dua kawasan daratan, manakala teluk merupakan bahagian perairan laut yang menghala ke daratan dan kawasannya dibatasi oleh daratan. Ahli-ahli sains telah membahagikan kawasan daratan kepada beberapa buah benua.

Zaman terpenting yang memberikan kesan kepada perubahan bentuk fizikal bumi seperti yang ada pada hari ini ialah Zaman Air Batu.


Apa Maksud Zaman Air Batu

Zaman Air Batu ialah garis masa geologi yang menunjukkan suhu bumi menurun. Suhu bumi menurun pada tahap membeku dalam jangka masa yang lama. Sebahagian besar bumi khususnya di bahagian Kutub Utara dan Kutub Selatan diliputi oleh air batu tebal yang dikenali sebagai lapisan ais.

Lapisan ais ini menyebabkan kawasan air batu menjadi luas di kawasan kutub dan pergunungan. Pada akhir Zaman Air Batu, bumi mengalami proses pengglasieran, iaitu kecairan air batu.

Terdapat sekurang-kurangnya tiga tahap berlakunya glasier. Tahap pertama ialah 900 hingga 600 juta tahun dahulu; tahap kedua, 250 hingga 80,000 juta tahun; dan tahap ketiga 10,000 juta tahun.

Perubahan iklim dunia kepada suhu panas telah menyebabkan berakhirnya Zaman Air Batu.


Tahap Perkembangan Zaman Air Batu

Zaman Air Batu terbahagi kepada empat tahap zaman, iaitu Zaman Miosen, Zaman Pliosen, Zaman Pleistosen dan Zaman Holosen.

Zaman Miosen
Zaman Miosen dipercayai berlaku antara 23 juta hingga 5 juta tahun dahulu. Gunung-ganang yang ada pada hari ini telah terbentuk secara fizikal. Mamalia telah wujud dan berkembang di bumi, begitu juga dengan hidupan di laut dan di air. Suhu dunia panas dan kering.

Zaman Pliosen
Zaman Pliosen dipercayai berlaku antara 5.3 juta hingga 2.6 juta tahun dahulu. Ahli sains menyatakan pada zaman inilah berlaku penyejukan global Zaman Miosen yang lebih panas.

Penyejukan dan pengeringan alam sekitar global menyumbang kepada penyebaran besar padang rumput dan savana pada masa itu. Jambatan darat Panama antara Amerika Utara dan Amerika Selatan terbentuk dan mendorong penghijrahan tumbuhan dan haiwan ke habitat baharu.

Maksud Zaman Air Batu Lengkap
bbc.co.uk

Dataran tinggi terbentuk pada zaman ini, seperti di Colorado, Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Grand Canyon.

Zaman Pleistosen
Zaman Pleistosen berlaku antara 2.5 juta hingga 10,000 tahun dahulu. Pada zaman ini, glasier utama berlaku sebanyak 11 kali. Manusia telah mengetahui cara membuat api. Kebanyakan binatang yang wujud pada ketika itu masih kekal hingga kini.

Manusia dipercayai telah sampai ke Australia melalui jalan darat dari Asia Tenggara (Pentas Sunda) sekitar 50,000 tahun dahulu.

Zaman Holosen
Zaman Holosen ialah zaman yang bermula sejak 10,000 tahun dahulu hingga kini. Berlaku kemajuan dalam kehidupan manusia. Manusia telah mengetahui cara mendapatkan makanan melalui aktiviti pertanian.

Roda dan tulisan kuneiform dicipta kira-kira 5,500 tahun dahulu. Setelah itu, tamadun manusia terus berkembang dalam bidang keagamaan, pendidikan, pentadbiran dan undang-undang.


Garis Masa Zaman Air Batu

Pengetahuan tentang perubahan dan sebab berlakunya Zaman Air Batu membantu meningkatkan pemahaman kita tentang perkara yang berlaku kepada bumi dan hidupan pada masa dahulu. Hal ini dapat memupuk sikap sayang akan alam sekitar dan memelihara bumi.

Zaman Air Batu yang berlaku semenjak jutaan tahun dahulu memberikan kesan besar terhadap bentuk fizikal muka bumi dan kehidupan yang ada. Kebolehan manusia khususnya ahli-ahli sains telah membantu kita mengetahui sejarah bumi dan kehidupannya pada masa lalu.
Berita Menarik Lainnya
  • Cara membuat rainbow cake kukus untuk ulang tahun
  • Palestina Terkini Hilangnya di Peta Google Maps !!!
  • Wujud Dan Bentuk Buah Khuldi
  • Terpisah 300 Tahun, Kisah Cinta Nabi Adam Dan Hawa

  • Pengetahuan ini juga penting bagi memandu manusia menghadapi cabaran kehidupan pada masa depan.

    Seperti yang anda pelajari dalam unit sebelum ini, Zaman Air Batu terbahagi kepada empat tahap zaman, iaitu Zaman Miosen, Zaman Pliosen, Zaman Pleistosen dan Zaman Holosen.

    Berdasarkan garis masa Zaman Air Batu di bawah, kita dapat melihat tempoh masa setiap tahap zaman tersebut.


    Ahli paleontologi yang mengkaji sejarah bumi berpendapat bahawa hidupan di bumi bermula semenjak 545 juta tahun dahulu. Kewujudan hidupan seperti kepelbagaian spesies binatang berkait rapat dengan perubahan iklim dan peringkat zaman yang dilalui seperti dalam garis masa di bawah.

    Berdasarkan garis masa di bawah dapat dilihat perkembangan dan evolusi hidupan dan binatang mengikut perkembangan tempoh masa.



    Baca Juga Kisah Cinta Nabi Adam Dan Siti Hawa Yang Terpisah 300 Tahun




    Ciri-ciri Zaman Air Batu Akhir

    Bumi mengalami cuaca panas bermula 8,500 tahun dahulu. Suhu dunia meningkat dan menyebabkan berlaku kecairan air batu. Proses ini dinamakan pengglasieran yang memberikan kesan besar terhadap rupa bentuk fizikal bumi.

    Kecairan air batu menyebabkan paras air laut dunia meningkat. Kesannya bukit-bukau dan kawasan tanah tinggi mulai terbentuk seperti tasik dan pulau. Pembentukan tasik dan pulau telah memisahkan haiwan dan tumbuhan di kawasan yang berbeza. Maka berakhirlah Zaman Air Batu Akhir.

    Perubahan cuaca yang tidak lagi sejuk memberikan kesan terhadap aktiviti manusia. Manusia mula menjalankan aktiviti pertanian dan pengeluaran bahan makanan.

    Perkembangan perindustrian, aktiviti pembakaran terbuka, penebangan pokok dan pembakaran minyak daripada enjin kenderaan telah meningkatkan suhu dunia.

    Terdapat ahli sains yang menjangkakan berlaku peningkatan suhu dunia sekurang-kurangnya sembilan darjah Celsius setiap 50 tahun. Peningkatan suhu dunia boleh menyebabkan kenaikan paras air laut.

    Oleh itu, kita perlu mencari tenaga alternatif bagi mengatasi peningkatan suhu dunia demi menjaga alam sekitar.

    Oke, kembali ke ciri-ciri Zaman Air Batu
    Zaman Air Batu Akhir mempunyai ciri-ciri khusus yang dapat membezakannya dengan zaman-zaman lain. Ciri-ciri ini dapat dilihat seperti yang berikut:

    Ciri Fizikal Bumi
    Permukaan air laut yang membeku menyebabkan sebahagian besar bumi dilitupi salji.

    Aras Laut
    Permukaan air laut membeku. Paras air laut rendah. Pulau-pulau bersambung dengan tanah besar dan memudahkan manusia serta binatang bermigrasi.

    Kehidupan Manusia
    Terdapat manusia yang tinggal di kawasan tanah pamah yang sejuk. Mereka hidup secara nomad dan memburu binatang.

    Binatang
    Binatang seperti mamot berbulu, badak, kuda, dan singa tinggal di kawasan tanah pamah yang sejuk.

    Tumbuhan
    Tumbuhan utama ialah rumput dan tumbuhan renek yang menjalar.

    Suhu
    Suhu dunia terlalu sejuk. Dunia dipenuhi oleh salji terutamanya di kawasan kutub dan benua Eropah.

    Suhu merupakan ciri penting Zaman Air Batu Akhir. Walaupun benua di utara dan benua di selatan masih lagi sejuk, namun di benua Asia, suhu mulai panas. Keadaan ini membolehkan manusia berhijrah ke benua Asia yang sebelum ini bersuhu sejuk. Selain itu, bentuk muka bumi juga mengalami perubahan.

    Kecairan air batu menyebabkan kawasan tanah rendah ditenggelami oleh air dan membentuk tasik. Kecairan air batu menyebabkan paras air laut meningkat seperti pada hari ini.


    Perubahan Zaman Air Batu Akhir

    Perubahan suhu yang meningkat pada Zaman Air Batu Akhir memberikan kesan terhadap bentuk fizikal dan hidupan di bumi.

    Glasier telah menukarkan wajah dan bentuk fizikal bumi. Air batu yang cair dari kawasan tanah tinggi dan gunung akan membawa bersama-sama batu dan tanah semasa menuruni tanah tinggi.

    Lebihan air yang dibawa akan melimpahi laut dan kawasan tanah tinggi. Kecairan air batu telah membentuk tasik-tasik air tawar, seperti Great Lakes di Kanada dan Tasik Dayang Bunting di Malaysia.

    Satu daripada kesan penting perubahan Zaman Air Batu ialah rupa bentuk fizikal bumi seperti yang terbentuk pada hari ini. Kesannya, berlaku perubahan paras air laut dengan kedalaman 100 meter.

    Pada zaman ini berlaku kepupusan binatang yang hidup pada Zaman Pleistosen. Antara binatang yang pupus termasuklah mamot, sloth dan harimau bertaring.

    Pada Zaman Air Batu Akhir yang dikenali sebagai Zaman Holosen, perubahan iklim telah memberikan kesan besar terhadap kehidupan manusia kerana mereka perlu menyesuaikan aktiviti harian dengan perubahan iklim.

    Manusia bergerak keluar dari benua Afrika dan secara beransur-ansur mendiami benua Eropah dan benua Asia. Pergerakan ini dipengaruhi oleh suhu di Asia dan Eropah yang tidak lagi terlalu sejuk. Pada Zaman Air Batu Akhir, suhu bumi adalah seperti pada hari ini.


    Kesan Perubahan Zaman Air Batu di Asia Tenggara

    Perkembangan yang berlaku pada Zaman Air Batu Akhir memberikan kesan yang sama di Asia Tenggara. Dua kesan penting ialah kenaikan paras air laut di Pentas Sunda dan pergerakan manusia di sekitarnya.

    Perubahan paras air laut yang aktif berlaku pada 17,000 hingga 20,000 tahun dahulu. Sejak tempoh tersebut aras laut telah naik antara 100 hingga 120 meter. Ketika itu, Pentas Sunda merupakan daratan yang mempunyai kawasan tanah rendah di antara pulau-pulau yang wujud pada hari ini.

    Kepulauan Sumatera, Jawa dan Borneo berada di atas Pentas Sunda. Kawasan yang dihubungkan melalui daratan seluas lebih 3.2 juta kilometer persegi yang menyatukan Burma (Myanmar), Thailand, Laos, Kemboja, Vietnam, Semenanjung Tanah Melayu, Borneo dan Singapura.

    Sebelum 10,000 tahun dahulu, Asia Tenggara merupakan kawasan tanah yang luas terbentang yang menghubungkan kawasan daratan dengan kepulauan. Gugusan tanah ini dikenali sebagai Pentas Sunda. Pentas Sunda merupakan tunjang kebenuaan di Asia Tenggara.

    Keadaan ini menyebabkan negara-negara di Asia Tenggara mempunyai ciri-ciri fizikal dan hidupan yang hampir sama. Manusia yang tinggal di rantau Asia Tenggara khususnya di kawasan Pentas Sunda berkongsi tamadun yang sama seperti kepercayaan, asal usul keturunan, bahasa, budaya dan masyarakat.

    Sebagai contoh, penduduk di Malaysia, Indonesia, selatan Thailand dan selatan Filipina berkongsi bahasa yang sama, iaitu bahasa Melayu.

    Kecairan air batu pada peringkat akhir Zaman Holosen menyebabkan terjadinya sungai dan tasik di Asia Tenggara. Sungai yang terbentuk telah mengalirkan air ke dalam tasik dan ke laut. Antara sungai terbesar termasuklah Sungai Sunda Utara.

    Aliran sungai yang mengalir telah menenggelamkan kawasan tanah rendah di sepanjang tepi pantai. Perkembangan ini mempengaruhi pembentukan Selat Melaka, Teluk Siam dan Laut Jawa.

    Perubahan yang berlaku di kawasan Asia Tenggara pada Zaman Air Batu Akhir khususnya peringkat akhir Zaman Holosen memberikan kesan kepada bentuk fizikal dan hidupan di kawasan ini.

    Kawasan Asia Tenggara telah dihuni oleh kumpulan mamalia bersaiz sederhana dan besar. Asia Tenggara merupakan kawasan tumpuan mamalia kerana kawasan ini didiami oleh sebanyak 13 peratus mamalia dunia.

    Walau bagaimanapun, beberapa binatang seperti stegodon (gajah) dan pachycrocuta (hyena atau dubuk) bersaiz besar telah pupus.


    Kesimpulan

    Dunia Kita
    Bumi mengalami Zaman Air Batu yang lama. Suhu bumi pada zaman ini terlalu sejuk dan mengehadkan kegiatan manusia.

    Zaman Air Batu dan Garis Masa
    Empat Zaman Air Batu utama ialah Miosen (23 juta tahun), Pliosen (5 juta tahun), Pleistosen (2.5 juta tahun) dan Holosen (10,000 tahun).

    Ciri-ciri Zaman Air Batu Akhir
    Suhu dunia sejuk. Air batu yang menutupi bumi berlaku dalam tempoh yang panjang, wujud hidupan, pengaruh pusingan orbit dan gunung berapi.

    Perubahan Zaman Air Batu Akhir
    Perubahan Zaman Air Batu melibatkan iklim, glasier, bentuk fizikal bumi dan kesan kepada manusia dan haiwan.

    Kesan Perubahan Zaman
    Air Batu di Asia Tenggara Kesan perubahan di Asia Tenggara ialah tenggelamnya Pentas Sunda dan keadaan bumi adalah seperti bentuk yang ada pada hari ini.


    Artikel ini telah menjelaskan tentang Zaman Air Batu yang berlaku kepada bumi. Perubahan yang berlaku kepada Zaman Air Batu telah memberikan kesan fizikal kepada rupa bentuk bumi yang boleh dilihat pada hari ini.

    Perubahan yang ketara turut berlaku di Asia Tenggara yang menyebabkan tenggelamnya Pentas Sunda. Perubahan yang berlaku pada Zaman Air Batu turut mempengaruhi kehidupan manusia. Perkembangan kehidupan manusia yang lebih kompleks dalam menghadapi cabaran alam sekitar dikaji dalam artikel yang seterusnya.

    1 komentar

    1. sangat sikit ideanya.......I mean the explaination given is too less and short.........Pls make the explaination longer

      BalasHapus