your code goes here

Apa Maksud Produk: Tahap-tahap Dan Klasifikasi Produk

Apa Maksud Produk - Memahami Produk dan Jenis Produk | Produk adalah sesuatu yang ditawarkan kepada pasaran yang mempunyai sifat-sifat yang dapat menarik perhatian, dapati dimiliki, digunakan dan mempunyai faedah psikologi serta faedah fizikal yang boleh memuaskan kehendak pengguna semasa melakukan pertukaran.

Apa Maksud Produk
Ruangguru.com

Secara ringkasnya, produk boleh dikatakan sebagai sesuatu yang ditawarkan di pasaran oleh pengusaha dan mempunyai satu set ciri-ciri ketara (tangible) seperti warna, berat, harga dan ciri-ciri tidak ketara (intangible) seperti kepuasan, kecekapan, keberkesanan dan penyelesaian yang mana ciri-ciri tersebut diperlukan oleh pengguna.


Tahap-tahap produk

Setelah kita mengetahui definisi produk, marilah kita melihat tahap-tahap produk pula. Produk merangkumi tiga tahap atau dimensi iaitu tahap produk teras, produk sebenar dan produk tambahan.

1. Produk teras
Tahap yang paling asas adalah produk teras yang menjawab persoalan apakah yang sebenarnya atau tujuan sesuatu pembelian di buat. Ia terdiri daripada faedah penyelesaian masalah teras yang pengguna ingin atasi apabila membeli. Contoh: Pembelian sesebuah kereta Produa Kelisa adalah penyelesaian kepada masalah pengangkutan ke tempat kerja.

2. Produk sebenar
Iaitu faedah-faedah tambahan yang ditawarkan bersama produk. Ia dihasilkan apabila pemasar telah menetapkan beberapa ciri-ciri seperti tahap kualiti, rekabentuk, nama, penjenamaan dan pembungkusan serta ciri-ciri lain yang berkaitan dengan produk.

Contoh: Merujuk kepada ciri–ciri yang terdapat pada kereta Kelisa yang menyebabkan berlakunya pembelian seperti terdapatnya aksesori penghawa dingin, system audio yang canggih, kusyen yang lembut, warna yang menarik atau harganya lebih murah dari jenama-jenama kereta yang lain.

3. Produk tambahan
Faedah-faedah tambahan yang ditawarkan bersama-sama produk bagi mewujudkan perbezaan di antara produk sesuatu syarikat dengan pesaing-pesaingnya seperti khidmat penghantaran, khidmat selepas jualan, kredit, jaminan dan lain-lain lagi.

Contoh: Merujuk kepada ciri-ciri tambahan yang ditawarkan bersama-sama kereta Kelisa seperti kemudahan pembayaran ansuran/kredit, deposit yang rendah, caj servis dan pembaikan yang minimum serta keramahan jurujual.

Setelah mempelajari unit ini, diharapkan anda telah dapat mengenalpasti dengan tepat apakah tahap-tahap produk yang berada di persekitaran anda. Teruskan mendalami pengetahuan anda tentang produk di unit-unit yang seterusnya.


Klasifikasi Produk

Produk pada amnya boleh dibahagikan kepada dua kelas besar berdasarkan kepada cara-cara penggunaannya iaitu produk pengguna dan produk industri.


Produk pengguna

Produk pengguna adalah produk yang dibeli oleh pengguna akhir untuk kegunaan peribadi, ahli rumahnya atau keluarganya. Produk pengguna termasuklah produk mudah beli, produk beli belah, produk istimewa dan produk tidak dicari.

Produk ini berbeza dari segi cara pengguna membelinya yang mana menyebabkan ia berbeza pula dari segi cara pemasar memasarkannnya, diantaranya:

Produk Mudah Beli
Produk mudah beli adalah produk dan perkhidmatan yang kerap dibeli oleh pengguna, dibeli secara serta merta dan usaha perbandingan di dalam pembelian yang minimum.

Di antara ciri-ciri produk mudah beli adalah ia berharga murah dan contoh produk mudah beli adalah seperti sabun, gula-gula, suratkhabar,makanan segera dan ubat gigi. Produk mudah beli dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu produk asasi, produk gerakhati dan produk kecemasan.


  • Produk asasi: Produk yang dibeli secara berulang kali. Contoh: kicap, ubat gigi atau makanan ringan.
  • Produk gerakhati: Produk yang dibeli dengan perancangan atau usaha yang amat sedikit. Ia dibeli secara spontan dan secara cepat apabila terpandang produk tersebut. Produk ini biasanya diletakkan bersebelahan dengan kaunter pembayaran. Contoh: coklat, bateri dan majalah.
  • Produk kecemasan: Produk dibeli apabila terdapat keperluan yang terdesak. Contohnya, membeli payung apabila hari hujan.


Produk Membeli Belah
Produk membeli belah adalah produk yang mana pengguna akan terlebih dahulu mendapatkan maklumat lanjut mengenai ciri-ciri produk, harganya dan pilihan-pilihan yang ada sebelum membelinya.

Produk ini biasanya jarang dibeli, mahal harganya dan memerlukan banyak masa dan usaha dalam mengumpulkan maklumat serta membuat perbandingan ketika membeli. Contoh produk membeli belah adalah pakaian, perabot, barang kemas, kasut dan kereta.

Produk Istimewa
Produk istimewa mempunyai ciri-ciri unik dan istimewa kepada pengguna. Pengguna sangat setia kepada jenama yang tertentu dan sanggup membayar pada harga yang tinggi.

Pengguna selalunya tidak membandingkan produk istimewa sebaliknya melaburkan masa untuk mencari jurujual yang menjual produk yang dikehendaki. Contohnya, jenama spesifik, jenis kereta, peralatan fotografi yang berharga tinggi dan pakaian oleh pereka fesyen terkenal

Produk Tidak Dicari
Produk tidak dicari boleh dibahagikan kepada dua sebab mengapa ia tidak dicari iaitu:
1. Produk berada di pasaran tetapi tidak disedari oleh pengguna.
2. Produk sudahpun diketahui oleh pengguna tetapi pengguna belum lagi mahu membeli, contohnya seperti ensiklopedia dan perkhidmatan derma darah.


Produk Industri

Produk industri adalah produk yang dibeli untuk diproses lagi atau untuk digunakan bagi menjalankan perniagaan. Oleh itu, perbezaan di antara produk pengguna dan produk industri adalah berdasarkan kepada tujuan pembeliannya.

Jika pengguna membeli satu mesin rumput untuk digunakan di dalam perniagaan landskapnya, mesin rumput tersebut adalah produk industri. Tiga kumpulan produk industri termasuklah bahan dan bahagian ganti, item modal serta bekalan dan perkhidmatan.

Bahan dan bahagian ganti.
Bahan dan bahagian ganti termasuk bahan dan bahagian yang telah diproses. Bahan dan bahagian yang telah diproses terdiri daripada bahan-bahan komponen (besi, benang, simen, dawai) dan bahagian komponen (motor kecil, tayar).

Kebanyakan bahan dan bahagian yang diproses dijual terus kepada pengguna industri. Harga dan perkhidmatan adalah faktor pemasaran utama manakala penjenamaan dan pengiklanan adalah kurang penting.

Item modal
Item modal adalah produk industri yang membantu di dalam pengeluaran atau operasi pembeli, termasuklah pemasangan dan kelengkapan aksesori. Pemasangan terdiri daripada pembelian utama seperti bangunan ( kilang, pejabat) dan kelengkapan yang dipasang (seperti generator, drill, sistem komputer besar dan lif).

Kelengkapan aksesori termasuklah kelengkapan dan peralatan kilang boleh alih (seperti alatan tukang dan lori angkut) dan kelengkapan pejabat (seperti mesin faks dan meja). Ia mempunyai jangka hayat yang lebih singkat daripada pemasangan dan ia membantu di dalam proses pengeluaran.

Bekalan dan perkhidmatan
Bekalan termasuklah bekalan operasi ( minyak pelincir,bahan api , kertas, pensil) dan item pembaikan dan penyelenggaraan ( seperti cat, paku dan penyapu). Bekalan adalah produk mudah beli bagi industri kerana ia selalunya dibeli bagi melicinkan kerja-kerja pengurusan dan pengeluaran.

Produk ini tidak akan menjadi sebahagian daripada produk siap yang dikeluarkan oleh firma-firma tersebut. Ia diperolehi dengan usaha atau perbandingan yang minimum.

Perkhidmatan perniagaan termasuklah perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan (seperti cucian tingkap dan pembaikan komputer), pengangkutan, pengiklanan, kejuruteraan dan perundangan (khidmat nasihat dan juru runding).

Posting Komentar