your code goes here

Sistem Pemerintahan dan Kegiatan Ekonomi Masyarakat Kerajaan Alam Melayu

Masyarakat kerajaan Alam Melayu juga menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi seperti pertanian, perdagangan, mengutip hasil hutan dan hasil laut serta perlombongan dan pembuatan.
TaraHap - Sejarah Tingkatan 2 Bab 2 KSSM

Sistem Pemerintahan dan Kegiatan Ekonomi Masyarakat Kerajaan Alam Melayu
Sejarah Tingkatan 2 Bab 2
Kerajaan Alam Melayu mempunyai sistem pemerintahan tersendiri, iaitu sistem beraja.

Masyarakat kerajaan Alam Melayu juga menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi seperti pertanian, perdagangan, mengutip hasil hutan dan hasil laut serta perlombongan dan pembuatan.



Apakah Yang Akan Anda Pelajari?

  • Menerangkan sistem pemerintahan kerajaan Alam Melayu. 
  • Menghuraikan kegiatan ekonomi masyarakat kerajaan Alam Melayu.




- 2.1 -

Sistem Pemerintahan


Pengenalan

Sistem Pemerintahan dan Kegiatan Ekonomi Masyarakat Kerajaan Alam Melayu
Candi Angkor Wat
Sistem pemerintahan yang diamalkan oleh kerajaan Alam Melayu yang masyhur ialah sistem beraja. Sistem beraja ini terbahagi kepada dua, iaitu pusat dan wilayah.


Kerajaan Funan


Raja Kerajaan Funan
Raja-raja Funan menggunakan pelbagai gelaran. Antaranya termasuklah Kurung Bnam yang bermaksud raja gunung, Rajadhiraja yang melambangkan raja Funan sebagai raja segala raja dan Cakravatin yang bermaksud pemerintah alam sejagat.

Pemerintahan Pusat dan Wilayah
Raja Funan dibantu oleh golongan agama dan golongan tentera. Funan dibahagikan kepada tujuh buah wilayah. Ketua wilayah ini terdiri daripada putera-putera raja. Mereka digelar sebagai Raja Kecil.



Kerajaan Champa


Raja Kerajaan Champa
Raja-raja Champa menggunakan gelaran Rajadhiraja. Raja-raja Champa diiktiraf sebagai pemerintah yang mulia dan suci serta dikaitkan dengan Dewa Siva.

Pemerintahan Pusat dan Wilayah
Raja Champa dibantu oleh para pembesar yang bertanggungjawab mengutip cukai, menjaga keamanan dan mengukuhkan pertahanan.

Pada peringkat wilayah, Champa dibahagikan kepada lima wilayah, iaitu Indrapura, Amaravati, Vijaya, Kauthara dan Panduranga.



Kerajaan Srivijaya


Raja Kerajaan Srivijaya
Raja-raja Srivijaya mempunyai unsur kesaktian dan dianggap sebagai Bodhisattva yang merujuk peranan raja sebagai Buddha di bumi. Raja Srivijaya digelar sebagai Raja di Gunung dan Maharaja di Pulau.

Pemerintahan Pusat dan Wilayah
Raja dibantu oleh Yuvaraja, iaitu Putera Mahkota, Pratiyuvaraja sebagai Raja Muda dan Rajakumara. Raja turut dibantu oleh golongan agama, tentera, pemungut cukai, hakim dan penjaga harta kerajaan.

Pentadbiran wilayah terbahagi kepada dua, iaitu Kedatuan yang ditadbir oleh Datu berketurunan raja dan Pradatuan yang ditadbir oleh Datu bukan berketurunan raja.



Kerajaan Angkor


Raja Kerajaan Angkor
Raja-raja Angkor menggunakan gelaran Dewaraja yang mengaitkan raja sebagai dewa. Kuasa kedua dan ketiga yang penting dalam sistem pemerintahan ialah Permaisuri dan Raja Muda.

Pemerintahan Pusat dan Wilayah
Raja-raja Angkor dibantu oleh pembesar-pembesar yang bertanggungjawab dalam bidang keagamaan, kehakiman, keselamatan dan perbendaharaan.

Pada peringkat wilayah, Angkor dibahagikan kepada wilayah, daerah, daerah kecil dan kampung.



Kerajaan Majapahit


Raja Kerajaan Majapahit
Raja-raja Majapahit menggunakan gelaran Maharaja, Sri Maharaja dan Sri Bathara

Pemerintahan Pusat dan Wilayah
Raja dibantu oleh Sapta Prabu dan para pembesar. Sapta Prabu ialah Majlis Penasihat Diraja yang terdiri daripada kerabat diraja Majapahit dibahagikan kepada 14 wilayah.

Setiap wilayah ini dipecahkan kepada Kabupaten, Kawadanan, Pakuwuan dan Kebuyutan, iaitu daerah dan daerah kecil serta kampung.



Kerajaan Kedah Tua


Kerajaan Kedah Tua banyak dibayangi oleh kerajaan besar di Alam Melayu terutamanya kerajaan Srivijaya. Namun begitu, kerajaan Kedah Tua mempunyai bentuk pentadbiran yang mudah dengan adanya seorang ketua.

Ketua ini mengurus hal perdagangan dan keagamaan. Apabila kerajaan Kedah Tua menjadi sebahagian daripada kerajaan Srivijaya, corak pemerintahannya berubah.

Kerajaan Kedah Tua menjadi sebahagian daripada Pradatuan kerajaan Srivijaya.



Kerajaan Gangga Nagara


Struktur pemerintahan kerajaan Gangga Nagara tidak jelas. Kajian menunjukkan kerajaan Gangga Nagara mengamalkan sistem pemerintahan beraja.

Raja ini berperanan membangunkan kemajuan perdagangan dan bertanggungjawab dalam hal ehwal keselamatan.


***
Sistem pemerintahan merupakan tonggak penting dalam usaha raja-raja kerajaan Alam Melayu untuk membangunkan kerajaannya.

Sistem pemerintahan yang teratur dengan susunan kuasa raja di puncak pemerintahan yang dibantu oleh pembesar pusat dan wilayah telah mewujudkan kestabilan di Alam Melayu.

Oleh itu, kita harus menghargai kestabilan dan keamanan negara supaya kita dapat hidup makmur dan maju.



- 2.2 - 

Kegiatan Ekonomi Kerajaan Alam Melayu


Pengenalan

Petempatan awal dan peranan sungai dalam mengembangkan kegiatan ekonomi masyarakat kerajaan Alam Melayu telah dibuktikan melalui penemuan arkeologi seperti yang anda pelajari semasa di Tingkatan 1.

Masyarakat kerajaan Alam Melayu menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi seperti pertanian, perdagangan, mengutip hasil hutan dan laut, serta perlombongan dan pembuatan.



Pertanian Kerajaan Alam Melayu

Alam Melayu mempunyai tanah yang subur untuk kegiatan pertanian. Pada tahap awal, kegiatan pertanian bertujuan untuk menyara diri sahaja.

Namun begitu, apabila terdapat lebihan hasil pertanian, lebihan tersebut akan dipasarkan atau dibekalkan untuk memenuhi keperluan penduduk yang tidak terlibat dalam kegiatan pertanian.

Sebahagian besar kawasan Alam Melayu ditanam dengan padi. Padi ditanam di kawasan tanah tinggi atau bukit yang kurang mendapat bekalan air dengan dibuat teres atau relung.


1. Pertanian Padi

Kerajaan Funan, Kerajaan Champa dan Kerajaan Angkor
Kerajaan Funan dan Angkor yang terletak di Lembah Sungai Mekong mendapat manfaat daripada kesuburan tanahnya.

Hujan membekalkan air ke tasik-tasik besar seperti Tonle Sap yang digunakan untuk mengairi kawasan padi sawah. Pemerintah Angkor telah membina kolam yang dikenali sebagai baray untuk menyimpan air.

Di Angkor, penanaman padi menuaikan hasil tiga hingga empat kali setahun. Di Champa pula, terdapat Ketua Air di setiap kampung untuk menyelenggarakan terusan dan daik.


Kerajaan Majapahit
Pulau Jawa mempunyai tanah subur yang sesuai untuk kegiatan pertanian. Sungai Bengawan Solo dan Sungai Brantas membekalkan air untuk pengairan padi sawah.

Pemerintah Majapahit telah membina beberapa sistem pengairan untuk meningkatkan pengeluaran padi sawah.


Kerajaan Srivijaya
Padi menjadi tanaman utama kerajaan Srivijaya. Padi sawah ditanam di kawasan pedalaman Palembang terutama di Tanah Tinggi Pasemah dan Hulu Musi.


2. Pertanian Rempah-Ratus

Rempah-ratus yang terdapat di Alam Melayu ialah bunga cengkih, buah pala dan lada hitam.

Bunga cengkih ditanam di Kepulauan Maluku, buah pala pula ditanam di Pulau Banda, manakala lada hitam ditanam di Sumatera dan Jawa.


3. Kegiatan Pertanian yang Lain

Selain tanaman padi, masyarakat kerajaan Alam Melayu juga mengusahakan tanaman lain seperti pisang, tebu, bijan, kekacang, kelapa, sayuran dan buah-buahan.

Mereka turut terlibat dalam kegiatan menangkap ikan di sawah, paya dan sungai. Malahan ada yang berusaha mendapatkan kulit kura-kura.


***
Nasi merupakan makanan ruji penduduk Alam Melayu, oleh sebab itulah tanaman padi menjadi keutamaan dalam bidang pertanian.

Hanya di bahagian kepulauan Alam Melayu, bunga cengkih, buah pala dan lada hitam ditanam sebagai tanaman dagangan.



Perdagangan Kerajaan Alam Melayu

Perdagangan merupakan kegiatan ekonomi yang penting bagi kerajaan Alam Melayu. Barangan dari Alam Melayu menjadi tarikan pedagang luar.

Selain itu, kedudukan Alam Melayu di tengah-tengah laluan perdagangan timur dan barat, dan adanya kemudahan pelabuhan telah membolehkan kerajaan Alam Melayu berkembang maju hasil kegiatan perdagangan dengan pedagang luar.

Pelabuhan tersebut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti bekalan air, tempat tinggal, tempat menyimpan barang dagangan dan kawasan berjual beli.

Kerajaan Funan
Pelabuhan: Oc Eo
Barang didagangkan: Damar, kapur barus, kayu cendana dan gaharu.

Kerajaan Champa
Pelabuhan: Turan, Kam ran, Sri Banoy dan Maliti.
Barang didagangkan: Beras, emas, perak, gading gajah dan gaharu.

Kerajaan Srivijaya
Pelabuhan: Palembang
Barang didagangkan: Damar, kapur barus, gaharu, Mmadu, rotan, rempah, mutiara, rumpai laut, gading gajah dan sumbu badak.

Kerajaan Angkor
Pelabuhan: Yasodharapura
Barang didagangkan: Gaharu, buah pelaga, lilin lebah, minyak sayuran, damar dan gading gajah.


Kerajaan Majapahit
Pelabuhan: Tuban, Sidayu, Gresik dan Surabaya.
Barang didagangkan: Rempah, beras, rotan, kayu cendana, gaharu, ikan, kulit penyu dan mutiara.


Kerajaan Kedah Tua
Pelabuhan: Sungai Mas dan Pangkalan Bujang
Barang didagangkan: Rotan, damar, kayu cendana dan gading gajah.


Kerajaan Gangga Nagara
Pelabuhan: Pangkalan, Lembah Kinta, Tanjung Rambutan, Bidor dan Sungai Siput.
Barang didagangkan: Emas, bijih timah, rempah ratus, kapur barus dan damar.



Pedagang Luar Kerajaan Alam Melayu

Pedagang luar yang sering berdagang dengan Alam Melayu adalah dari China, India, Arab dan Parsi. Mereka membawa pelbagai barang dagangan untuk dijual dan ditukar dengan barangan daripada kerajaan Alam Melayu.

Pedagang-pedagang China membawa pelbagai barangan dari China seperti sutera, tembikar, pinggan dan mangkuk, payung, gula dan gendang untuk mendapatkan barangan terutama yang mempunyai nilai perubatan dari Alam Melayu.

Pedagang India pula membawa kain kapas, tembikar dan pelbagai jenis batu berharga seperti akik dan karnelian untuk dijual kepada penduduk tempatan. Mereka mendapatkan kain sutera dari China dan pelbagai jenis barang dari Alam Melayu seperti rempah, gaharu dan kapur barus.

Pedagang Arab dan Parsi membawa pelbagai jenis tembikar, minyak wangi, barangan kaca dan manik yang didagangkan dengan kerajaan Alam Melayu. Di Alam Melayu, mereka membeli rempah dan kayu wangi untuk didagang semula ke Tanah Arab dan Rom.


Selain digunakan untuk membuat pakaian, sutera juga digunakan sebagai warkah diraja dan panji-panji kerajaan.


***
Aktiviti perdagangan di Alam Melayu telah membantu membangunkan pelabuhan dan memajukan pembuatan kapal.

Masyarakat kerajaan Alam Melayu juga mahir membuat kapal dan menguasai ilmu pelayaran. Mereka mampu belayar hingga Afrika. Kita harus menghargai dan mencontohi kegigihan mereka memajukan diri ini.



Hasil Hutan dan Laut Kerajaan Alam Melayu

Kerajaan Alam Melayu kaya dengan hasil hutan dan laut. Pada peringkat awal, masyarakat kerajaan Alam Melayu menjalankan kegiatan mengutip hasil hutan dan hasil laut bagi kegunaan mereka sahaja.

Apabila kegiatan ini membawa hasil yang melebihi keperluan masyarakat setempat, maka lebihan ini didagangkan dalam kalangan petempatan tersebut.

Kawasan petempatan ini seterusnya berkembang menjadi kawasan perdagangan. Antara hasil hutan dan laut yang mendapat permintaan tinggi daripada pedagang asing termasuklah gaharu, sarang burung, rotan, kapur barus, gamat, mutiara dan rumpai laut.


Hasil Hutan Kerajaan Alam Melayu
Gaharu digunakan sebagai bahan pewangi dan perubatan. Gaharu banyak didapati di hutan Sungai Mekong, Tanah Melayu dan Sumatera.

Sarang urung layang-layang banyak didapati di utara Pulau Borneo dan digunakan untuk kesihatan dan perubatan.

Rotan mudah didapati di seluruh Alam Melayu. Rotan digunakan sebagai bahan binaan dan barang kraf tangan.

Kapur barus banyak ditemukan di Sumatera dan Borneo. Kapur barus digunakan sebagai bahan pewangi.


Hasil Laut Kerajaan Alam Melayu
Gamat dijadikan bahan makanan dan perubatan.

Rumpai laut dijadikan makanan.

Mutiara dijadikan barang perhiasan.

Gamat, mutiara dan rumpai laut mudah didapati di perairan Alam Melayu terutama di Selat Melaka dan Laut Sulu.


***
Hasil hutan dan laut ini mendapat permintaan tinggi daripada pedagang kerana mempunyai pelbagai kegunaan seperti sumber makanan, ubatan, wangian, perhiasan dan bahan binaan.


Perlombongan dan Pembuatan Kerajaan Alam Melayu

Masyarakat kerajaan Alam Melayu turut menjalankan kegiatan perlombongan dan pembuatan.

Perlombongan ialah kegiatan melombong emas, perak dan bijih besi. Pada peringkat awal, masyarakat kerajaan Alam Melayu menjalankan kegiatan melombong dengan cara mendulang secara kecil-kecilan.

Pembuatan pula ialah kegiatan membuat barang harian dan mewah seperti perhiasan emas, cuka kelapa, pembuatan garam dan pembuatan tembikar.


Perlombongan Kerajaan Alam Melayu
Di Champa, emas di lombong di kawasan pergunungan Hue.

Di Champa, perak dilombong di Indrapura dan kawasan di antara Amaravati dan Vijaya.

Di Angkor, bijih besi dilombong di pergunungan Phnom Dek.

Pembuatan Kerajaan Alam Melayu
Masyarakat kerajaan Funan dan Angkor menghasilkan pelbagai barangan daripada bijih besi dan emas seperti barang perhiasan.

Masyarakat kerajaan Champa mahir dalam pembuatan barangan tembikar.

Masyarakat kerajaan Champa mengusahakan pembuatan cuka kelapa.

Masyarakat kerajaan Majapahit mengusahakan pembuatan garam, gula dan minyak. Di samping itu, mereka mengusahakan pembungkusan daging kerbau dan membuat mi daripada beras.


***
Kerajaan Funan, Champa, Srivijaya, Angkor, Majapahit, Kedah Tua dan Gangga Nagara mengamalkan sistem pemerintahan beraja.

Pemerintahan ini terdiri daripada dua peringkat, iaitu pusat dan wilayah.

Kegiatan ekonomi masyarakat kerajaan Alam Melayu juga berkembang dengan maju seiring dengan pemantapan sistem pemerintahan.

Para pedagang tempatan telah berinteraksi dengan pedagang dari luar dengan melakukan aktiviti jual beli.

Kemajuan masyarakat Alam Melayu juga dapat dilihat dalam aspek sosiobudaya yang akan dibincangkan dalam bab seterusnya.

Kekayaan sumber alam di Alam Melayu menyebabkan pelbagai kegiatan ekonomi dapat dijalankan. Kebijaksanaan pemerintah mengurus sumber alam dan kegigihan rakyat bekerja telah memakmurkan Alam Melayu.

Oleh sebab itu, kita harus bijak memanfaatkan dan mengurus alam sekitar untuk memajukan diri dan negara.



Nilai, Patriotisme dan Iktibar


  • Pengetahuan tentang sistem pemerintahan kerajaan Alam Melayu menyedarkan kita tentang kepentingan mentaati pemerintah. 
  • Kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi penting untuk membina kegemilangan tamadun bangsa dan negara. 
  • Kita perlulah bijak memanfaatkan kekayaan sumber alam untuk kemakmuran ekonomi negara.


Untuk Diri dan Keluarga
Kita mestilah bersifat kreatif dan inovatif demi kemajuan diri dan keluarga kita.

Untuk Negara
Sebagai rakyat, kita harus terlibat dalam program pembangunan ekonomi negara. Pembangunan dan kemajuan negara menjadi tanggungjawab kita bersama-sama.

Posting Komentar