Kerajaan Alam Melayu: Konsep dan Kewujudannya

TaraHap - Sejarah Tingkatan 2 Bab 1 KSSM

Kerajaan Alam Melayu: Konsep dan Kewujudannya
Sejarah Tingkatan 2 Bab 1
Alam Melayu merupakan kawasan yang merangkumi kepulauan dan tanah besar. Sejarah awal Alam Melayu memperlihatkan kemunculan beberapa kerajaan yang masyhur seperti Funan, Champa, Srivijaya, Angkor, Majapahit, Kedah Tua dan Gangga Nagara.

Kerajaan-kerajaan ini mempunyai persamaan dalam aspek geografi, bahasa dan budaya. Kerajaan-kerajaan ini telah berkembang maju sebagai pusat perdagangan dan keagamaan yang tersohor.

Kegemilangan kerajaan ini turut dikenali setanding dengan tamadun dunia yang lain.


Apakah Yang Akan Anda Pelajari?


  • Menjelaskan konsep Alam Melayu. 
  • Menerangkan kewujudan kerajaan Alam Melayu. 
  • Memerihalkan kerajaan-kerajaan Alam Melayu yang masyhur. 
  • Menghubungkaitkan kerajaan Alam Melayu dengan kerajaan di luar Alam Melayu yang sezaman.



- 1.1 -

Konsep Alam Melayu


Pengenalan

Alam Melayu merangkumi gugusan kepulauan dan tanah besar di bahagian tenggara benua Asia. Alam Melayu juga dikenali dengan pelbagai istilah seperti Kepulauan Melayu dan Dunia Melayu.

Istilah ini berbeza-beza mengikut peredaran zaman. Pada masa dahulu, gugusan tanah luas terbentang yang menghubungkan kawasan daratan dengan kepulauan ini dikenali sebagai Pentas Sunda.

Kawasan di Pentas Sunda ini mempunyai ciri-ciri fizikal dan hidupan yang hampir sama.

Anda telah mempelajari hal ini semasa berada di Tingkatan 1. Manusia yang tinggal di kawasan ini berkongsi tamadun yang sama seperti kepercayaan, asal usul keturunan, bahasa, budaya dan masyarakat.

Oleh itu, konsep Alam Melayu ini boleh dilihat dari sudut geografi, bahasa dan budaya.



Geografi Alam Melayu

Terdapat pelbagai pendapat tokoh-tokoh tempatan dan luar negara berkaitan aspek geografi Alam Melayu. Pendapat mereka menjadi rujukan dalam perbincangan tentang konsep Alam Melayu.

1. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, ahli arkeologi.

Kerajaan Alam Melayu: Konsep dan Kewujudannya

Alam Melayu meliputi kawasan dari Madagaskar ke Tanah Melayu, Papua New Guinea, Australia, New Zealand, Kepulauan Pasifik dan sampai ke Taiwan.

2. Abdul Hadi Haji Hassan, ahli akademik.
Alam Melayu merupakan suatu lingkungan geografi yang luas meliputi Kepulauan Melayu hingga selatan Thailand.

3. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Pendeta (Dr.) Ismail Hussein, budayawan.

Kerajaan Alam Melayu: Konsep dan Kewujudannya

Dunia Melayu meliputi selatan Vietnam, Kemboja, selatan Myanmar, Segenting Kra, Malaysia, Indonesia, Brunei dan Filipina.

4. Alfred Russel Wallace, sarjana Barat.

Kerajaan Alam Melayu: Konsep dan Kewujudannya

Kepulauan Melayu meliputi Tanah Melayu hingga Tenasserim dan Kepulauan Nicobar, Filipina dan Kepulauan Solomon hingga Papua New Guinea.

5. Profesor Dr. Ding Choo Ming, pengkaji manuskrip Melayu.
Dunia Melayu merupakan sebuah kawasan yang luas meliputi Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, selatan Thailand dan Filipina.


***
Tokoh-tokoh ini telah mengemukakan pandangan yang hampir sama dari aspek geografi Alam Melayu, iaitu kawasan yang merangkumi Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina, selatan Thailand, selatan Myanmar dan selatan Indochina.

Pada hari ini, Alam Melayu merupakan sebahagian daripada Asia Tenggara.



Bahasa Alam Melayu

Konsep Alam Melayu juga boleh dilihat dari aspek penggunaan bahasa serumpun yang dikaitkan dengan bahasa Melayu.

Bahasa Melayu tergolong dalam bahasa Austronesia yang merupakan antara 200 bahasa yang dipertuturkan di Alam Melayu.

Bahasa serumpun di Alam Melayu mempunyai perkaitan dengan bahasa etnik peribumi. Persamaan ini boleh dikenal pasti melalui kata-kata tertentu.

Apabila membuat perbandingan bahasa-bahasa serumpun ini, terdapat pertalian kekeluargaan bahasa-bahasa ini dengan bahasa Melayu.

Kerajaan Alam Melayu: Konsep dan Kewujudannya
Perkataan Bahasa Melayu
Bahasa Melayu telah digunakan secara meluas di Alam Melayu sejak awal Masihi lagi. Sifat orang Melayu yang gemar belayar telah mengembangkan lagi bahasa Melayu ke Alam Melayu.

Tambahan pula sifat bahasa Melayu yang sederhana dan mudah dipelajari membolehkan bahasa ini diterima di Alam Melayu.


***
Istilah Melayu Polinesia digunakan sebelum digantikan dengan Austronesia. Pada tahun 1972, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations of Educational, Scientific and Cultural Organisation - UNESCO) telah memilih istilah Melayu bagi merujuk suku bangsa yang berbahasa Melayu yang mendiami Asia Tenggara.



Budaya Alam Melayu

Kerajaan Alam Melayu: Konsep dan Kewujudannya
Silat menjadi identiti budaya serumpun di Alam Melayu
Penduduk di Alam Melayu mempunyai budaya serumpun yang merangkumi bahasa dan tulisan, persuratan, struktur sosial, kesenian, kepercayaan dan adat.

Sejak awal lagi, budaya di Alam Melayu ini telah berkembang maju dengan munculnya beberapa kepandaian tertentu dalam bidang kesenian.

Antaranya termasuklah pembuatan gangsa dan seni mempertahankan diri. Kedua-dua kepandaian ini merupakan ciptaan asli di Alam Melayu.

Selain itu, nilai-nilai serumpun wujud dalam masyarakat Alam Melayu terutamanya gotong-royong. Dalam aspek seni persembahan pula, muncul wayang kulit di Kelantan dan Pulau Jawa.

Persamaan budaya dalam kalangan penduduk Alam Melayu membuktikan bahawa Alam Melayu ini merupakan kawasan yang memiliki kebudayaan serumpun.


***
Alam Melayu merupakan suatu lingkungan geografi yang luas dan mempunyai persamaan bahasa dan budaya.

Walaupun penduduk Alam Melayu kini dibahagikan kepada beberapa buah negara tetapi ikatan keserumpunan bahasa dan budaya masih kuat dalam kalangan penduduk di Alam Melayu.

Hal ini memupuk kesedaran bahawa kita serumpun di Alam Melayu.



- 1.2 -

Kewujudan Kerajaan di Alam Melayu


Pengenalan

Kerajaan Alam Melayu telah bermula daripada petempatan kecil yang berkembang menjadi pelabuhan. Pelabuhan ini seterusnya berkembang menjadi kerajaan.

Kerajaan ini muncul seawal abad pertama. Antara kerajaan tersebut termasuklah Funan, Champa, Srivijaya, Angkor, Majapahit, Kedah Tua dan Gangga Nagara.


1. Kerajaan Funan

Lokasi: Lembah Sungai Mekong
Masa: Abad Pertama
Pusat Kerajaan: Vyadhapura

2. Kerajaan Champa

Lokasi: Selatan dan tengah Vietnam.
Masa: Abad Kedua
Pusat Kerajaan: Indrapura

3. Kerajaan Srivijaya

Lokasi: Lembah Sungai Musi, Sumatera
Masa: Abad Ketujuh
Pusat Kerajaan: Palembang

4. Kerajaan Angkor

Lokasi: Lembah Sungai Mekong
Masa: Abad Kesembilan
Pusat Kerajaan: Hariharalaya

5. Kerajaan Majapahit

Lokasi: Lembah Sungai Brantas,
Jawa Timur.
Masa: Abad Ke-13
Pusat Kerajaan: Kota Trowulan

6. Kerajaan Kedah Tua

Lokasi: Sungai Mas dan Sungai Bujang.
Masa: Abad Kelima
Pusat Kerajaan: Sungai Mas dan
Pangkalan Bujang.

7. Kerajaan Gangga Nagara

Lokasi: Pantai barat bahagian
tengah Tanah Melayu.
Masa: Abad Keenam
Pusat Kerajaan: Pangkalan


***
Kewujudan kerajaan Alam Melayu sejak awal abad pertama membuktikan bahawa Alam Melayu juga mempunyai kerajaan yang sezaman dengan tamadun lain.

Kerajaan ini telah berjaya membina kegemilangan yang agung. Kewujudan kerajaan ini menyedarkan kita bahawa kawasan yang kita diami ini juga mempunyai warisan kerajaan yang agung seperti tamadun lain di dunia.



- 1.3 -

Kerajaan Alam Melayu yang Masyhur


Pengenalan

Antara kerajaan Alam Melayu yang masyhur termasuklah Funan, Champa, Srivijaya, Angkor, Majapahit, Kedah Tua dan Gangga Nagara.

Kemasyhuran kerajaan ini dapat dilihat dalam aspek pemerintahan, ekonomi, agama dan kemunculan pelabuhan.



Kerajaan Funan

Kerajaan Funan yang berpusat di Vyadhapura diasaskan oleh seorang Brahmin bernama Kaundinya. Beliau berkahwin dengan Soma, pemerintah wanita di Sungai Mekong dan membentuk kerajaan Funan.

Kemasyhuran Kerajaan Funan: 
Kerajaan Funan masyhur semasa diperintah oleh Fan Shih-man. Beliau telah meluaskan empayar Funan ke Sungai Mekong hingga Teluk Camranh di sebelah timur.

Kemudian, beliau menguasai selatan Myanmar dan Segenting Kra. Kejayaan beliau menguasai wilayah ini membolehkan Funan menguasai jalan perdagangan utama antara timur dengan barat.

Kesannya, pada abad ketiga Funan menjadi pusat perdagangan utama di Alam Melayu. Raja Funan terakhir ialah Rudravarman.

Serangan kerajaan Chenla yang terletak di utara Funan telah menyebabkan kemerosotan kerajaan Funan.



Kerajaan Champa

Kerajaan Champa diasaskan oleh Chu-Lien pada tahun 192 M. Pusat kerajaan ini adalah di Indrapura.

Champa sering berhadapan dengan serangan dari Dai Viet. Chu-Lien berjaya membebaskan Champa daripada pengaruh China.

Kemasyhuran Kerajaan Champa:
Zaman kemasyhuran Champa bermula di bawah pemerintahan Che Bong Nga. Beliau berjaya mengatasi ancaman Dai Viet dan meluaskan empayar Champa ke wilayah Dai Viet hingga Lembah Sungai Merah.

Serangan Champa ke wilayah Dai Viet berjaya membunuh Raja Tran Due Tong, pemerintah Dai Viet. Pemerintahan beliau mendapat pengiktirafan daripada Dinasti Ming pada tahun 1369.

Kemerosotan kerajaan Champa bermula apabila pemerintahnya, Indravarman meninggal dunia pada tahun 1441.

Dai Viet menggunakan peluang ini dengan melancarkan beberapa serangan ke atas Champa. Pada tahun 1471, Champa ditawan oleh Dai Viet.



Kerajaan Srivijaya

Kerajaan Srivijaya diasaskan oleh Dapunta Hyang Sri Jayanasa pada tahun 683 M di Palembang. Beliau telah memperkukuh kerajaan Srivijaya dengan menakluk kawasan sekitarnya seperti Bangka dan Taruma.

Kemasyhuran Kerajaan Srivijaya: 
Semasa era pemerintahan angramadhananjaya pada abad kelapan, Srivijaya telah berjaya menakluk Sumatera, selatan Myanmar, Tanah Melayu dan Segenting Kra.

Penaklukan ini juga membolehkan Srivijaya menguasai jalan laut antarabangsa, iaitu Selat Melaka dan Selat Sunda, seterusnya menjadi kuasa perdagangan utama di Alam Melayu.

Selain terkenal sebagai pusat perdagangan, Srivijaya menjadi pusat pengajian agama Buddha. Serangan tentera Chola dari selatan India pada tahun 1025 telah menyebabkan kerajaan Srivijaya menjadi lemah.



Kerajaan Angkor

Kerajaan Angkor yang berpusat di Hariharalaya diasaskan oleh Jayavarman II dari Chenla. Beliau telah menyatukan wilayah di Lembah Sungai Mekong.

Kemasyhuran Kerajaan Angkor: 
Suryavarman II meluaskan empayar Angkor ke sekitar Lembah Sungai Mekong hingga selatan Myanmar.

Beliau berjaya menghalang ancaman daripada Champa dan Dai Viet, di samping mewujudkan jalinan perdagangan antara pedagang tempatan dengan pedagang luar.

Usaha beliau ini diteruskan pula oleh Jayavarman VII yang telah meluaskan empayar Angkor hingga sempadan Annam.

Beliau membina Angkor Thom dan mendirikan 102 buah hospital. Selepas kematian Jayavarman VII, Angkor mula lemah. Serangan Siam pada tahun 1594 telah melemahkan kerajaan Angkor.



Kerajaan Majapahit

Kerajaan Majapahit diasaskan oleh Raden Vijaya dengan bantuan tentera Mongol dalam perebutan kuasa di Jawa pada tahun 1294. Kerajaan ini berpusat di Kota Trowulan.

Kemasyhuran Kerajaan Majapahit: 
Kemasyhuran Majapahit bermula dengan pelantikan Patih Gajah Mada sebagai Perdana Menteri (Majapahit) oleh pemerintah Tribuana Tunggadewi.

Patih Gajah Mada berjaya mengembalikan keamanan dan keselamatan kerajaan Majapahit.

Beliau juga mula meluaskan tanah jajahannya ke timur Pulau Jawa; pesisir pantai timur Sumatera; pesisir selatan dan barat Pulau Borneo; bahagian selatan dan timur Sulawesi; dan Kepulauan Maluku.

Hal ini menjadikan Majapahit sebagai pusat perdagangan pada abad ke-14. Kematian Patih Gajah Mada dan serangan kerajaan Demak pada tahun 1478 telah menyebabkan kerajaan Majapahit menjadi lemah.



Kerajaan Kedah Tua

Kemunculan kerajaan Kedah Tua bermula dengan penglibatan masyarakat di Guar Kepah yang menjalankan kegiatan perdagangan dengan pedagang dari luar di Sungai Mas.

Pada peringkat awal, pusat kerajaan ini adalah di Sungai Mas dan Pangkalan Bujang.

Kewujudan kerajaan Kedah Tua ini diperkukuhkan dengan catatan golongan agama dan pedagang dari China, India dan Arab-Parsi.

Sumber China menamakan kerajaan Kedah Tua sebagai Chieh Ch’a. Manakala sumber dari India dan Arab, masing-masing merujuk kerajaan Kedah Tua sebagai Kataha dan Kalah-bar.

Kemasyhuran kerajaan Kedah:
Kemasyhuran kerajaan Kedah Tua dikaitkan dengan kepesatan kegiatan perdagangan di Lembah Bujang.

Pedagang dari timur dan barat datang untuk menjalankan kegiatan perdagangan dengan penduduk tempatan dan pedagang luar yang lain.

Seiring dengan kemajuan perdagangan ini, kerajaan Kedah Tua juga menjadi pusat keagamaan agama Buddha.

Kemasyhuran kerajaan Kedah Tua ini menyebabkan kerajaan Srivijaya menguasai Kedah Tua.

Namun begitu, serangan tentera Chola dari India pada tahun 1025 telah melemahkan kegiatan perdagangan di Kedah Tua.

Kerajaan Kedah Tua mula mengalami perubahan pemerintahan pada abad ketujuh apabila munculnya pengasasan Kesultanan Kedah yang memulakan kerajaan baharu di Kedah.



Kerajaan Gangga Nagara

Berdasarkan kajian arkeologi, kerajaan Gangga Nagara muncul pada abad keenam. Walau bagaimanapun, kerajaan Gangga Nagara telah berfungsi sebagai pusat pelabuhan sejak abad kelima.

Menurut sumber tradisi, pengasas kerajaan Gangga Nagara ialah Raja Ganji Sarjuna. Terdapat pendapat lain yang menyatakan kerajaan Gangga Nagara ini dibuka oleh Raja Khmer dari Kemboja.

Pada peringkat awal pusat kerajaan ini adalah di Pangkalan.

Kemasyhuran kerajaan Gangga Nagara: 
Kemasyhuran kerajaan Gangga Nagara bermula pada abad kesembilan. Sejak abad kelima, kerajaan Gangga Nagara sering dikunjungi oleh pedagang luar kerana kekayaan hasil bumi seperti emas dan bijih timah.

Kerajaan Gangga Nagara juga berjaya mempertahankan kedaulatannya daripada serangan kerajaan Srivijaya pada tahun 850 M.

Kerajaan Gangga Nagara mulai lemah apabila diserang oleh tentera Chola dari India pada tahun 1025. Serangan ini telah memusnahkan pelabuhan Gangga Nagara.


***
Kerajaan Funan, Champa, Srivijaya, Angkor, Majapahit, Kedah Tua dan Gangga Nagara merupakan kerajaan yang masyhur.

Kerajaan ini merupakan contoh kebijaksanaan kepimpinan masyarakat Alam Melayu.

Oleh sebab itu, kebijaksanaan dan kemasyhuran ini wajar menjadi contoh kepada kita untuk membina tamadun bangsa yang setanding dengan bangsa-bangsa lain di dunia.



- 1.4 -

Kerajaan Alam Melayu dan Kerajaan Luar Yang Sezaman


Pengenalan

Kerajaan Alam Melayu muncul sezaman dengan kerajaan-kerajaan luar yang lain. Hal ini menunjukkan bahawa kerajaan Alam Melayu membangun dan maju setanding dengan kerajaan tersebut.

Kerajaan Alam Melayu juga mempunyai hubungan perdagangan, keagamaan dan diplomatik dengan kerajaan ini.



Kerajaan Luar yang Sezaman

Abad Pertama
Kerajaan Alam Melayu: Konsep dan Kewujudannya
Kerajaan Abad Pertama
Pada abad pertama, kemunculan kerajaan Funan sezaman dengan empayar Rom, empayar Parsi, empayar Kushan dan Dinasti Han.

Abad Kesembilan
Kerajaan Alam Melayu: Konsep dan Kewujudannya
Kerajaan Abad Kesembilan
Pada abad kesembilan, kerajaan Champa, Srivijaya dan Angkor sezaman dengan kerajaan Abbasiyah, empayar Byzantine, Dinasti Tang dan kerajaan Chola.

Abad Ke-14 

Kerajaan Alam Melayu: Konsep dan Kewujudannya
Kerajaan Abad Ke-14
Kerajaan Alam Melayu merupakan kerajaan yang penting dan mempunyai tamadun tinggi yang setanding dengan kerajaan luar yang lain.



Hubungan Perdagangan

Kerajaan Alam Melayu: Konsep dan Kewujudannya
Hubungan Perdagangan
Kerajaan Alam Melayu menjalinkan hubungan perdagangan dengan kerajaan luar.

Kedudukan strategik di laluan perdagangan timur dan barat serta kekayaan hasil bumi mendorong pemerintah kerajaan Alam Melayu menjalinkan hubungan perdagangan dengan kerajaan lain.
GMB

Perkembangan hubungan perdagangan ini menunjukkan amalan sikap keterbukaan para pemerintah kerajaan Alam Melayu telah membawa kemakmuran ekonomi.



Hubungan Keagamaan

Hubungan kerajaan Alam Melayu dengan kerajaan luar mendorong penyebaran agama Hindu, Buddha dan Islam.

Penyebaran agama-agama ini telah mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan seperti pentadbiran, perundangan, ekonomi dan sosiobudaya.

Agama Hindu

Kerajaan Alam Melayu: Konsep dan Kewujudannya
Gambar Patung Dewa Siwa
Terdapat beberapa cara penyebaran agama Hindu di Alam Melayu, iaitu melalui peranan pedagang, tentera dan golongan Brahmin.

Agama Buddha

Kerajaan Alam Melayu: Konsep dan Kewujudannya
Gambar Patung Buddha
Peranan Asoka, pemerintah empayar Maurya, menghantar sami-sami Buddha ke Alam Melayu untuk menyebarkan agama Buddha.

Agama Islam

Kerajaan Alam Melayu: Konsep dan Kewujudannya
Gambar Ka'bah
Terdapat beberapa cara penyebaran agama Islam di Alam Melayu, iaitu melalui peranan pedagang, pemerintah dan pendakwah.

Penyebaran agama-agama ini ke Alam Melayu menggambarkan sikap keterbukaan penduduk Alam Melayu. Agama Hindu dan Buddha telah dianuti oleh sebahagian penduduk tempatan.

Setelah kedatangan agama Islam, sebahagian besar penduduk di Alam Melayu menganut agama ini.



Hubungan Diplomatik

Hubungan diplomatik merupakan hubungan politik antara dua kerajaan. Dalam hal ini, kerajaan Alam Melayu telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan kerajaan di China dan India bagi mengukuhkan kedudukannya dan membuka jalan kepada perkembangan perdagangan.

Hubungan Kerajaan Alam Melayu dengan China

Kerajaan Alam Melayu: Konsep dan Kewujudannya
Hubungan Diplomatik Dengan China

1. Kerajaan Funan
Utusan dihantar pada abad ketiga.
Tujuan: Memohon bantuan ketenteraan untuk melawan Dai Viet.

2. Kerajaan Champa
Utusan dihantar pada abad ketiga.
Tujuan: Memulihkan hubungan setelah berperang dengan sekutu China, iaitu Dai Viet.

3. Kerajaan Srivijaya
Utusan dihantar pada abad ketujuh.
Tujuan: Mendapatkan pengiktirafan dan memperkukuh hubungan persahabatan dan perdagangan.

4. Kerajaan Kedah Tua
Utusan dihantar pada abad ketujuh.
Tujuan: Memperkukuh hubungan perdagangan.

5. Kerajaan Angkor
Utusan dihantar pada abad ke-12.
Tujuan: Memperkukuh persahabatan dan perdagangan.

6. Kerajaan Majapahit
Utusan dihantar pada abad ke-14.
Tujuan: Menjalinkan hubungan persahabatan.


Hubungan Kerajaan Alam Melayu dengan India
Kerajaan Alam Melayu: Konsep dan Kewujudannya
Hubungan Diplomatik Dengan India

1. Kerajaan Funan
Utusan dihantar pada abad ketiga.
Tujuan: Memperkukuh hubungan perdagangan dan keagamaan dengan India.

2. Kerajaan Srivijaya
Utusan dihantar pada abad kesembilan.
Tujuan: Mengeratkan hubungan persahabatan dan hubungan keagamaan.

3. Kerajaan Angkor
Utusan dihantar pada abad ke-12.
Tujuan: Mengeratkan hubungan persahabatan.

4. Kerajaan Majapahit
Utusan dihantar pada abad ke-14.
Tujuan: Mengeratkan hubungan persahabatan.


***
Hubungan diplomatik antara kerajaan Alam Melayu dengan kerajaan luar menunjukkan usaha persahabatan yang cuba dijalinkan antara kerajaan.

Kerajaan-kerajaan Alam Melayu bersifat terbuka dan saling menghormati dalam menjalinkan hubungan dengan kerajaan luar.

Hubungan ini penting untuk membantu kemajuan kerajaan Alam Melayu. Jelaslah bahawa pemerintah kerajaan Alam Melayu bijak mengurus hubungan kerajaannya dengan kerajaan luar.

Bab ini telah menjelaskan bahawa Alam Melayu merupakan lingkungan kawasan yang luas dalam aspek geografi, keserumpunan bahasa dan budaya.

Kerajaan ini telah mencapai kegemilangan dan menjadi masyhur. Kegemilangan ini juga dikaitkan dengan keterbukaan kerajaan Alam Melayu untuk mengadakan hubungan dengan kerajaan luar.

Bab seterusnya akan membincangkan kegemilangan kerajaan Alam Melayu dalam aspek pemerintahan dan ekonomi.



Arif dan Peka Sejarah

Nilai, Patriotisme dan Iktibar


  • Apabila mempelajari budaya serumpun, kita memperoleh pengetahuan tentang persamaan amalan budaya masyarakat. 
  • Pemahaman sejarah kewujudan kerajaan Alam Melayu dapat melahirkan rasa bangga akan kegemilangan negara. 
  • Hubungan antara kerajaan Alam Melayu dengan kerajaan luar mendidik kita agar menjalinkan kerjasama dan bersifat terbuka untuk kemakmuran negara.


Untuk Diri dan Keluarga
Sikap toleransi dan berbaik-baik dengan ahli keluarga akan mengukuhkan institusi kekeluargaan.

Untuk Negara
Sebagai warganegara Malaysia, kita harus berbangga kerana negara kita bersifat terbuka dalam menjalinkan hubungan persahabatan dengan negara luar. Oleh itu, kita perlu menjaga imej baik negara di mata masyarakat antarabangsa.

0 Response to "Kerajaan Alam Melayu: Konsep dan Kewujudannya"

Catat Komen

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel