your code goes here

Peningkatan Tamadun Yunani dan Rom: Tingkatan 1 Bab 6

Peningkatan pesat telah berlaku dalam pelbagai bidang dalam Tamadun Yunani dan Tamadun Rom.
TaraHap - Peningkatan Tamadun Yunani dan Rom dalam aspek pemerintah dan seni bina

Peningkatan Tamadun Yunani dan Rom
Seni Bina Collosseum
Dalam bab terdahulu, kita telah membincangkan kemunculan dan perkembangan beberapa tamadun awal.

Peningkatan pesat telah berlaku dalam pelbagai bidang dalam Tamadun Yunani dan Tamadun Rom. Kedua-dua tamadun ini mencapai pencapaian yang sangat baik dan cemerlang.

Peningkatan ini berlaku dalam aspek pemerintahan dan pentadbiran dalam Tamadun Yunani dan peningkatan bidang seni bina dalam Tamadun Rom.


Apakah Yang Akan Anda Pelajari?


  • Mengenal lokasi Tamadun Yunani dan Tamadun Rom yang menunjukkan peningkatan yang tinggi dalam pelbagai bidang.
  • Memahami peningkatan Tamadun Yunani dalam aspek pemerintahan dan pentadbiran.
  • Memahami peningkatan tamadun Rom dalam aspek seni bina.


Tamadun Yunani

Pengenalan Tamadun Yunani

Tamadun Yunani yang berkembang antara tahun 1,000 SM hingga 800 SM merupakan pencetus kepada perkembangan tamadun Eropah.

Zaman ini dilihat oleh masyarakat Eropah moden sebagai zaman yang memberikan inspirasi dan panduan kepada kehidupan manusia yang lebih baik menerusi pelbagai pencapaian dalam pemerintahan dan bidang pentadbiran melalui pengenalan sistem demokrasi, ekonomi, sains dan teknologi, kesusasteraan serta falsafah dan pendidikan.


Berita Menarik Lainnya
  • Cara membuat rainbow cake kukus untuk ulang tahun
  • Palestina Terkini Hilangnya di Peta Google Maps !!!
  • Wujud Dan Bentuk Buah Khuldi
  • Terpisah 300 Tahun, Kisah Cinta Nabi Adam Dan Hawa
  • Lokasi dan Perkembangannya

    Tamadun Yunani berkembang di Semenanjung Greece dan pulau-pulau yang bertaburan di Laut Aegean serta Laut Mediterranean.

    Cuaca yang sederhana telah membolehkan kegiatan di luar rumah seperti perdebatan dan sukan giat dijalankan di Yunani.

    Selain itu, kedudukannya yang berhampiran dengan laut menyebabkan orang Yunani dikenali sebagai pelayar yang handal.

    Tamadun Yunani terkenal dengan negara-kota atau polis yang merupakan gabungan tiga komponen, iaitu bandar utama, bandar kecil dan kawasan kampung.

    Polis bukan sahaja menjadi ibu kota tetapi menjadi pusat tumpuan masyarakat. Di tengah-tengah polis, terdapat acropolis, iaitu pusat komuniti yang dilindungi oleh kubu.

    Acropolis merupakan lokasi yang paling strategik dari segi keselamatan, pentadbiran dan komunikasi yang dilengkapi dengan rumah ibadat, bangunan kerajaan, istana dan rumah golongan bangsawan.

    Terdapat juga kawasan lapang yang dikenali sebagai agora yang digunakan sebagai tempat pertemuan dan pasar awam.

    Keadaan ini menyebabkan penduduk yang tinggal berhampiran dengan acropolis lebih aktif terlibat dalam urusan negara jika dibandingkan dengan penduduk yang tinggal jauh dari acropolis.

    Di luar kawasan acropolis, terdapat penduduk di kawasan kampung yang menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan. Terdapat tiga polis yang terkenal dalam Tamadun Yunani, iaitu Athens, Sparta dan Corinth.

    Athens merupakan negara-kota yang paling ramai penduduk, manakala Sparta merupakan negara-kota yang paling luas.

    Dua ciri utama polis ialah jumlah penduduk yang ramai dan keluasan wilayah. Penduduk Athens dianggarkan seramai 40,000 orang, Sparta 16,000 orang dan Corinth, 10,000 orang.

    Selain itu, terdapat perbezaan keluasan polis, seperti Sparta yang mempunyai keluasan 8,400 kilometer persegi, Athens seluas 2,650 kilometer persegi, dan Corinth seluas 880 kilometer persegi.

    Bagi penduduk Yunani, setiap polis merupakan tanah suci kurniaan Dewa. Oleh itu, setiap warganegara mempunyai hak dan tanggungjawab untuk menjaga kepentingannya.

    Sikap ini mendorong jalinan hubungan yang sangat rapat dalam kalangan setiap warganegara dan membangkitkan rasa kekitaan untuk mempertahankan negara-kota ini.


    Peningkatan Pemerintahan dan Pentadbiran Tamadun Yunani


    Dalam Tamadun Yunani, aspek pemerintahan dan pentadbiran merupakan sumbangan terpenting dalam perkembangan sejarah dan tamadun manusia.

    Hal ini demikian kerana aspek ini diwarisi oleh generasi selepas Tamadun Yunani dan kekal sehingga kini.

    Terdapat lima sistem pemerintahan yang diamalkan di kebanyakan polis, iaitu monarki, oligarki, aristokrasi, tirani dan demokrasi. Setiap sistem mempunyai ciri tertentu dan berbeza antara satu sama lain.

    Demokrasi
    Demokrasi ialah pemerintahan yang dipilih oleh rakyat melalui pengundian.

    Tirani
    Tirani ialah pemerintahan yang dikuasai oleh golongan yang zalim dan menindas rakyat.

    Aristokrasi
    Aristokrasi ialah pemerintahan yang dikuasai oleh golongan bangsawan.

    Oligarki
    Oligarki ialah pemerintahan yang dikuasai oleh sebahagian kecil golongan yang berkuasa.

    Monarki
    Monarki ialah sistem beraja yang berasaskan keturunan. Raja pula dibantu oleh Konsul yang terdiri daripada golongan bijak pandai.


    Perkembangan Sistem Demokrasi di Athens

    Bagi masyarakat di Athens, perkembangan sistem pemerintahan dan pentadbiran berlaku melalui perubahan yang dilaksanakan bagi memantapkan aspek tersebut.

    Tindakan ini telah memperlihatkan kematangan politik penduduk Athens yang kemudiannya memilih sistem demokrasi sebagai sistem pemerintahan dan pentadbirannya.

    Amalan demokrasi di Athens menjadi ikutan dan diamalkan oleh kebanyakan negara moden hingga kini. Sistem demokrasi di Athens melalui beberapa tahap perkembangan.

    Sebelum sistem ini diasaskan oleh Solon pada tahun 594 SM, Athens telah melalui sistem pemerintahan bercorak monarki, oligarki, aristokrasi dan tirani.

    Sistem demokrasi yang diamalkan di Athens merupakan demokrasi langsung. Demokrasi langsung bermaksud setiap warganegara Athens terlibat secara langsung dalam perbincangan dan perdebatan bagi menentukan sesuatu dasar dan peraturan yang berkaitan dengan Athens, termasuklah hal ehwal ekonomi, sosial dan politik.

    Pada zaman pemerintahan Pericles (495-429 SM), penekanan diberikan kepada kuasa rakyat bagi memantapkan sistem demokrasi.

    Walau bagaimanapun, demokrasi menjadi lemah dan terhapus pada zaman Raja Philip yang menguasai Yunani pada tahun 338 SM.

    Di Malaysia, sistem demokrasi dilaksanakan melalui pilihan raya yang memilih wakil-wakil rakyat. Sistem pilihan raya di Malaysia bermula pada tahun 1951 dan diamalkan sehingga kini.


    Ciri-ciri Demokrasi di Athens

    Dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran di Athens, badan tertinggi ialah Dewan Perhimpunan. Di bawahnya pula terdapat Majlis, Majistret dan Juri.


    Keanggotaan Dan Fungsi Badan Pemerintahan Dan Pentadbiran di Athens

    - Dewan Perhimpunan -
    Dewan Perhimpunan yang diwujudkan di Athens merupakan badan pentadbiran yang paling tinggi.

    Di dalam dewan ini, setiap warganegara Athens boleh mengemukakan sebarang pandangan mereka berkaitan dasar-dasar pentadbiran yang dijalankan oleh pemerintah.

    Hal ini menimbulkan perasaan kebersamaan dalam kalangan warganegara Athens sehingga mereka sanggup mengorbankan diri demi Athens.

    Dewan Perhimpunan mempunyai kuasa kawalan terhadap pentadbiran dan menetapkan dasar-dasar yang akan dilaksanakan.

    Dewan Perhimpunan juga mempunyai kuasa untuk memutus dan mengeluarkan deklarasi peperangan.

    Tanpa deklarasi ini, Athens tidak akan terlibat dalam mana-mana peperangan. Selain itu, Dewan Perhimpunan berfungsi sebagai mahkamah orang awam.

    Keadaan ini menyebabkan setiap warganegara yang mempunyai masalah boleh membuat aduan kepada Dewan Perhimpunan terutamanya kes-kes besar yang tidak dapat diselesaikan oleh badan pentadbiran yang lain.


    Keanggotaan Dewan Perhimpunan:
    1. Anggotanya terdiri daripada semua warganegara lelaki Athens.
    2. Setiap warganegara berpeluang memegang jawatan selama enam bulan hingga setahun.
    3. Bersidang sekurang-kurangnya tiga kali sebulan.
    4. Semua warganegara dibenarkan menghadiri perhimpunan.


    Fungsi Dewan Perhimpunan: 

    • Berperanan melantik Ahli Majlis sebagai sebahagian sistem pentadbiran yang wujud.
    • Menggubal undang-undang bagi memastikan keadilan dapat dilaksanakan dengan seadil-adilnya di Athens.
    • Membuat deklarasi peperangan bagi mempertahankan kedaulatan Athens.
    • Perjanjian dengan negara lain bagi melicinkan hubungan antarabangsa kedua-dua belah pihak.
    • Membincangkan hal kewangan dan percukaian bagi mengukuhkan ekonomi Athens.
    • Menerima duta dari negara asing bagi mengukuhkan hubungan antara kedua-dua pihak.



    - Majlis -
    Majlis merupakan jawatankuasa yang mengendalikan urusan dan perbincangan hal-hal penting yang berkaitan pemerintahan dan pentadbiran. Badan ini kadangkala dikenali sebagai Majlis 500.


    Keanggotaan Majlis:
    1. Ahli dilantik oleh Dewan Perhimpunan.
    2. Ahli terdiri daripada 500 orang dengan keahlian selama dua tahun.
    3. Ahli sebanyak 500 orang ini kemudiannya akan dipecahkan kepada 10 jawatankuasa (Prytany) yang setiap satu dianggotai oleh 50 orang.
    4. Pemilihan pengerusi dilakukan pada setiap kali persidangan diadakan.


    Fungsi Majlis: 

    • Melaksanakan keputusan Dewan Perhimpunan.
    • Ahli-ahli Majlis bertanggungjawab mengendalikan jabatan-jabatan kerajaan.
    • Kuasa Majlis tidak mengatasi kuasa Dewan Perhimpunan.



    - Majistret -
    Majistret merupakan badan yang melaksanakan segala dasar yang telah ditetapkan. Majistret sama dengan perkhidmatan awam dalam sistem pentadbiran hari ini.

    Majistret merupakan badan yang melaksanakan segala dasar yang telah ditetapkan. Majistret sama dengan perkhidmatan awam dalam sistem pentadbiran hari ini.


    Keanggotaan Majistret:
    1. Warganegara Athens.
    2. Dianggotai 6,000 orang ahli.
    3. Sebanyak 200 hingga 500 orang merupakan hakim.
    4. Sebanyak 10 orang jeneral tentera menganggotai badan ini.


    Fungsi Majistret: 

    • Merupakan kakitangan kerajaan.
    • Melaksanakan dasar-dasar yang telah diputuskan oleh Majlis.
    • Mengurus hal-ehwal pendidikan, percukaian, dan sebagainya.



    - Juri -
    Juri merupakan badan yang bertanggungjawab dalam hal yang berkaitan dengan keadilan.


    Keanggotaan Juri:
    1. Dianggotai oleh 101 hingga 1001 orang berdasarkan keseriusan kes yang sedang dibicarakan.
    2. Perbicaraan diketuai oleh pengerusi.


    Fungsi Juri: 

    • Juri menjadi pemutus kepada sesuatu kes.
    • Pesalah akan merayu terus kepada warganegara. 
    • Kuasa pengadilan terletak dalam tangan warganegara.



    Pada zaman Athens, pengadilan terletak di tangan warganegara. Pesalah akan merayu secara terus kepada warganegara dan kes-kes kecil akan diselesaikan di mahkamah tempatan. Kes yang lebih besar akan diselesaikan di Mahkamah Athens.


    Pemerintahan dan Pentadbiran Sparta

    Di Sparta, sistem pemerintahan dan pentadbiran bersifat monarki terhad. Terdapat dua orang raja yang memerintah Sparta bersama-sama bagi mengelakkan seorang daripada raja bertindak kejam.

    Kedua-dua raja datang daripada keluarga Eurypontids dan Agiads. Urusan pentadbiran raja dibantu oleh sebuah Dewan Perhimpunan dan Majlis.

    Dewan Perhimpunan mempunyai 10,000 orang ahli dan lima orang pegawai dilantik sebagai ephors yang berfungsi memastikan raja tidak memerintah secara mutlak.

    Majlis pula mempunyai 28 orang dewasa dan berusia melebihi 60 tahun. Keahlian Majlis seumur hidup.

    Sebagaimana di Athens, kaum wanita di Sparta juga tidak terlibat dalam urusan pentadbiran dan pemerintahan. Kehidupan masyarakat di Sparta berbeza daripada kebanyakan polis di Yunani.

    Di Sparta, penekanan diberikan kepada disiplin ketenteraan. Kanak-kanak seawal usia tujuh tahun dan kaum wanita akan dilatih menjadi anggota tentera.

    Kaum wanita turut menjalani latihan fizikal dan diajar berlari, bertinju, menari dan menyanyi di hadapan khalayak ramai. Malahan kaum wanita di Sparta tidak terkecuali daripada tugas mempertahankan negara.

    Dalam hal ini, Sparta boleh dikategorikan sebagai kerajaan ketenteraan. Penekanan terhadap aspek disiplin dan taat setia kepada negara-kota menjadi asas perkembangan.

    Sparta, malahan aspek ini tertanam kukuh dalam kalangan warganegara Sparta. Mereka sanggup berkorban demi mempertahankan kedaulatannya.

    Hal ini dibuktikan melalui siri peperangan antara Sparta dengan Persia antara tahun 490 SM hingga 449 SM. Pada tahun 480 SM, Sparta berjaya mengalahkan Persia dalam pertempuran di Salamis.

    Penekanan kepada disiplin dan taat setia seperti ini boleh menjadi contoh kepada pembinaan negara Malaysia yang lebih cemerlang.


    ***
    Sumbangan tamadun Yunani terutamanya dalam sistem demokrasi akan terus kekal dalam sejarah dan tamadun manusia.

    Sebagai pengasas demokrasi, kehidupan di Athens menekankan aspek kebebasan, hak warganegara dan pemikiran terbuka.

    Selain itu, negara-kota Sparta turut memberikan penekanan kepada disiplin ketenteraan dan semangat patriotik setiap warganegara, sama ada lelaki atau wanita dalam mempertahankan kedaulatan negara.



    Tamadun Rom

    Pengenalan Tamadun Rom

    Tamadun Rom merupakan kesinambungan daripada Tamadun Yunani kerana kedua-dua zaman ini sering kali dirujuk sebagai zaman klasik dalam sejarah Eropah.

    Beberapa ciri Tamadun Yunani seperti kebebasan pemikiran dan sikap ingin tahu menjadi asas yang penting dalam pembinaan Tamadun Rom dan Tamadun Eropah.

    Tamadun Rom muncul sebagai sebuah kuasa paling kuat di Mediterranean apabila berjaya mengalahkan pesaing-pesaing yang wujud, termasuklah Etruscan, Macedonia, Seleucid dan Mesir.

    Keadaan ini menyebabkan Rom berjaya membentuk sebuah empayar yang luas berpusat di Rom, Itali.


    Lokasi dan Perkembangannya

    Tamadun Rom terletak di Lembah Latium, berhampiran dengan Sungai Tiber. Lembah Latium merupakan kawasan subur yang membolehkan aktiviti pertanian giat dijalankan.

    Sungai Tiber pula menjadi sumber air utama kepada penduduk dan menjadi laluan utama untuk berlayar ke laut.

    Tamadun Rom boleh dibahagikan kepada tiga zaman, iaitu Zaman Beraja (753 – 509 SM), Zaman Republik (509 – 27 SM), dan Zaman Empayar (27 SM – 476 M).

    Tamadun Rom mencapai tahap kegemilangannya pada era Pax Romana (27 SM – 180 M).

    Pax Romana begitu penting kerana selama 200 tahun keamanan wujud dalam Tamadun Rom yang berkembang meliputi tiga buah benua, iaitu Asia, Afrika, dan Eropah.

    Masyarakat dalam Tamadun Rom terbahagi kepada tiga kelompok, iaitu kalangan Patrician atau atasan, Plebian yang terdiri daripada petani, artisan, peniaga dan golongan Hamba.

    Tamadun ini mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang, seperti politik, ekonomi, sains dan teknologi, falsafah, dan pendidikan.


    Peningkatan Seni Bina dalam Tamadun Rom

    Pepatah ada menyebut: 
    “Rom tidak dibina dalam sehari”. 

    Rom mengalami perkembangan yang panjang sebelum mencapai kegemilangannya dalam berbagai-bagai bidang. 

    Tamadun ini telah membuktikan keupayaan manusia untuk melahirkan ciptaan yang mengagumkan. 

    Sumbangan yang ditinggalkan oleh tamadun ini bukan sahaja diwarisi oleh Tamadun Eropah tetapi oleh tamadun dunia yang lain.


    Jika Tamadun Yunani terkenal dengan sistem pemerintahan dan pentadbiran bercorak demokrasi, Tamadun Rom pula terkenal dengan kepakaran dalam bidang seni bina.

    Orang Rom bukan sahaja membina bangunan bersaiz besar dan mempunyai nilai estetika, tetapi setiap binaan mempunyai kegunaan yang khusus.

    Perkembangan bidang seni bina melibatkan bangunan, jalan raya, saliran air dan tempat mandi awam.

    Binaan-binaan ini juga mempunyai ketahanan tinggi yang masih kekal hingga kini dan menjadi warisan sejarah yang tidak ternilai harganya.

    Kemajuan seni bina Rom didorong oleh pelbagai faktor seperti kepakaran, pendidikan, dasar pemerintahan, kewangan, teknologi, sumber alam dan buruh.

    Kemunculan arkitek, seperti Marco Vitruvius yang mengarang buku terkenal tentang seni bina, iaitu On Architecture pada tahun 46 SM membolehkan bidang seni bina Rom berkembang pesat.

    Sistem pendidikan yang praktikal dalam tamadun Rom turut memainkan peranan melahirkan golongan warganegara yang mahir dalam pelbagai bidang termasuklah seni bina.

    Perkembangan pesat seni bina di Rom turut disokong oleh pihak pentadbir, seperti Marcus Visanius Agrippa (63-12 SM). Kerajaan juga memberikan bantuan kewangan agar projek yang dirancang dapat berjalan dengan lancar.

    Gabungan antara teknologi zaman Yunani dengan teknologi Rom, seperti penggunaan simen dan penekanan kepada aspek ketahanan dan nilai estetika, mempengaruhi bidang seni bina Rom.

    Golongan buruh yang sebahagian besarnya terdiri daripada kalangan hamba juga memberikan sumbangan dalam perkembangan bidang seni bina di Rom.


    Ciri-ciri Pembinaan Bangunan dalam Tamadun Rom

    Seni bina Rom merupakan gabungan antara teknik seni bina yang diwarisi sejak zaman Yunani dengan inovasi yang dilakukan oleh orang Rom dengan menggunakan bahan binaan baharu serta reka bentuk yang kreatif.

    Gabungan ini membolehkan bangunan dan binaan dalam tamadun Rom mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang kekal sehingga kini.

    Seni bina Rom yang terkenal dan masih kekal hingga hari ini ialah Colosseum, Pantheon, amfiteater, akueduk, jalan raya, tembok pertahanan dan tempat mandi awam.


    - Colosseum -
    Colosseum merupakan binaan yang melambangkan keagungan Tamadun Rom yang dijadikan tempat mengadakan persembahan dan pertandingan bersaiz besar seperti acara gladiator.

    Struktur binaan Colosseum mempunyai ketinggian mencapai 50 meter panjang, lebar 156 meter dan luas keseluruhan bangunan kira-kira 2.5 hektar dengan kawasan arena seluas 85 meter x 54 meter yang mampu memuatkan 50,000 orang pada satu-satu masa.

    Colosseum mempunyai sistem pengurusan penonton yang setanding dengan stadium pada zaman moden. Terdapat 80 pintu masuk serta tempat duduk penonton yang dibina bertingkat-tingkat.

    Binaan ini dimulakan oleh Raja Vespian pada tahun 72 M dan diselesaikan oleh anaknya, Titus pada tahun 80 M.


    - Pantheon -
    Binaan berkubah yang terbesar di dunia yang digunakan sebagai tempat penyembahan dewa-dewi masyarakat Rom.

    Pada awalnya, Pantheon dibina oleh Marcus Visanius Agrippa pada tahun 27 SM, namun musnah dalam kebakaran pada tahun 80 M.

    Pantheon dibangunkan semula oleh Maharaja Hadrian pada tahun 125 M. Pantheon dibina dengan mengambil gaya binaan zaman Yunani terutama di bahagian hadapan yang mempunyai tiang yang kukuh.

    Atap Pantheon pula merupakan kubah bersaiz besar dengan diameter 43 meter. Dinding Pantheon pula dibina daripada batu-bata yang dilepa dengan simen.

    Puncak Pantheon mempunyai ruang terbuka yang dikenali sebagai Oculus berukuran 13 meter lebar yang membolehkan cahaya masuk menyinari ruangan dalam binaan ini.


    - Amfiteater -
    Binaan ini merupakan Colosseum mini atau sebuah gelanggang terbuka yang digunakan untuk membuat persembahan seni, pertunjukan dan gladiator.

    Amfiteater ini berbentuk lingkaran. Terdapat kira-kira 230 amfiteater yang dibina di seluruh empayar Rom dengan mempunyai pelbagai saiz dan kapasiti penonton yang berbeza.

    Amfiteater yang terkenal termasuklah amfiteater di El Djem, Tunisia yang boleh memuatkan 16,000 orang dan di Arles, Perancis yang boleh memuatkan 20,000 orang.

    Kewujudan binaan amfiteater di seluruh wilayah Rom menjadi bukti nyata tentang pengaruh dan cara hidup masyarakat zaman ini yang menggemari aktiviti di luar rumah.


    - Akueduk -
    Sistem perancangan dan pengawalan air yang sistematik yang melambangkan teknologi dan kejuruteraan Rom.

    Akueduk berfungsi membekalkan air ke rumah kediaman di sekitar bandar dalam empayar Rom.

    Air dari akueduk juga disalurkan ke tempat mandi awam dan binaan-binaan utama di Rom termasuklah ke Colosseum sewaktu acara gladiator diadakan.

    Akueduk pertama dibina di Aqua Appia pada tahun 312 SM dengan panjangnya 16 kilometer. Marcus Agrippa merupakan antara jurutera Rom yang bertanggungjawab membina akueduk, seperti Aqua Virgo yang dibina pada tahun 19 SM.

    Akueduk dibina berdasarkan kajian mendalam terhadap aspek mutu sumber air yang ada, aliran air dan lokasinya. Akueduk yang termasyhur ialah Pont du Gard di Perancis yang mempunyai tiga tingkat.


    - Jalan Raya Rom -
    Jalan raya mula dibina pada tahun 500 SM dengan tujuan untuk menghubungkan bandar-bandar utama bagi memudahkan pergerakan tentera serta sebagai sistem pengangkutan.

    Oleh sebab matlamat asas adalah untuk kegunaan tentera, jalan raya tersebut dibina secara berlapis-lapis dengan menggunakan batu besar, batu kecil dan batu kerikil supaya tahan dan kuat menahan beban serta pergerakan pasukan tentera.

    Luas jalan raya ini biasanya empat kaki (1.3 meter) tebal dan 20 kaki (6.7 meter) lebar. Terdapat batu tanda bagi menunjukkan jarak satu kawasan dengan kawasan lain.

    Di tepi jalan raya dibina longkang bagi mengalirkan air agar tidak bertakung di atas jalan raya.


    - Tembok Pertahanan -
    Pembinaan tembok pertahanan bertujuan untuk melindungi Tamadun Rom daripada serangan musuh. Tembok ini juga menjadi pemisah antara kawasan yang terletak di bawah kekuasaan Rom dengan kawasan yang bukan wilayah Rom.

    Seni membina tembok pertahanan telah bermula pada tahun 100 M dengan menggunakan batu yang disusun memanjang serta mencapai ketinggian sehingga lima meter.

    Selain itu, terdapat beberapa kubu kecil yang dikenali sebagai milecastel dalam jarak sebatu (1.6 kilometer) setiap satu. Kubu kecil ini menempatkan tentera yang mengawal tembok tersebut.

    Tembok yang terkenal ialah tembok Hadrian di Britain yang dibina pada tahun 122 M oleh Maharaja Hadrian. Panjang tembok ini ialah 117 kilometer dan setinggi lima meter.


    - Tempat Mandi Awam -
    Orang Rom percaya mandi penting untuk kebersihan dan kesihatan serta melambangkan kehidupan bertamadun.

    Bagi memenuhi tuntutan tersebut, orang Rom membina tempat mandi awam yang boleh digunakan oleh setiap orang. Mereka yang hendak menggunakannya akan dikenakan bayaran tertentu.

    Tempat mandi awam ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk tandas, ruang mandi, ruang untuk mengurut, perpustakaan, bilik berehat dan bersenam.

    Ruang mandi pula mempunyai bahagian yang berasingan, iaitu mandi air panas, sejuk, suam serta berwap.

    Antara tempat mandi awam yang terkenal termasuklah Caracalla di Rom yang didirikan pada abad ketiga Masihi oleh Maharaja Caracalla.

    Tempat mandi ini boleh memuatkan sehingga 1500 orang pada satu-satu masa.


    ***
    Peningkatan dalam seni bina menunjukkan kemampuan dan kebolehan orang Rom menghasilkan binaan yang menonjolkan kebijaksanaan mereka.

    Binaan-binaan ini juga menunjukkan kebesaran dan keagungan Tamadun Rom. Kecemerlangan Tamadun Rom bukan sahaja ditunjukkan dalam bidang seni bina tetapi dalam bidang lain.

    Seperti pentadbiran dan pemerintahan, ekonomi, ketenteraan, pertahanan, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi.

    Sehingga hari ini, sebahagian daripada kecemerlangan Tamadun Rom boleh terus dinikmati dan kekal menjadi warisan dunia.

    Memahami dan mengetahui ketinggian tamadun boleh menjadi inspirasi kepada peningkatan penciptaan dan kemajuan di negara kita.


    Kesimpulan

    Tamadun Yunani

    Pembentukan polis atau negara-kota merupakan ciri utama tamadun ini.

    • Tamadun ini mempunyai lima corak pemerintahan, iaitu monarki, oligarki, aristokrasi, tirani dan demokrasi.
    • Sistem pemerintahan di Athens berdasarkan demokrasi melalui penubuhan Dewan Perhimpunan yang meliputi Majlis, Majistret dan Juri.
    • Sparta pula menekankan disiplin ketenteraan dan taat setia warganegara.


    Tamadun Rom

    Perkembangan seni bina yang hebat berlaku dalam tamadun ini.

    • Faktor keunggulan seni bina yang kekal lama, tahan dan kuat.
    • Binaan seni bina yang mengagumkan, antaranya termasuklah Colosseum, Pantheon, amfiteater, akueduk, jalan raya, tembok pertahanan dan tempat mandi awam.


    Bab ini telah menjelaskan tentang peningkatan Tamadun Yunani dan Tamadun Rom. Kedua-dua tamadun ini telah menunjukkan tahap peningkatan yang begitu tinggi mutunya sama ada dari sudut gagasan mahupun binaan fizikal.

    Ciptaan ini sebahagiannya bukan sahaja dapat dilihat tetapi juga menjadi inspirasi kepada perkembangan seni bina hari ini. Bab seterusnya akan mengkaji tentang peningkatan Tamadun India dan Tamadun China.


    Arif dan Peka Sejarah

    Nilai, Patriotisme dan Iktibar

    Mempelajari kejayaan dan kemajuan Tamadun Yunani dan Tamadun Rom mendorong kita supaya berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang demi kesejahteraan masyarakat dan negara.

    Nilai-nilai demokrasi yang diasaskan sejak zaman Tamadun Yunani mendidik kita agar menjunjung tinggi dan sanggup mempertahankan nilai tersebut yang menjadi asas penting dalam pembentukan negara kita.

    Mempelajari Tamadun Yunani dan Tamadun Rom boleh melahirkan semangat patriotisme untuk membangunkan negara Malaysia.

    Untuk Diri dan Keluarga
    Kita perlu memahami bahawa kejayaan diri dan keluarga hanya akan dapat dicapai dengan usaha dan kerajinan yang bersungguh-sungguh

    Untuk Negara
    Kemajuan dan kesejahteraan negara hanya akan dapat dicapai sekiranya setiap warganegara menjunjung tinggi adat resam, demokrasi dan menghormati undang-undang negara.

    2 komentar

    1. saya nak .4 langkah-langkah yang perlu diambil oleh pihak kerajaan tamadun Rom

      BalasHapus
    2. Apa itu contoh keistimewaan rom

      BalasHapus