your code goes here

Tamadun Awal Dunia: Tingkatan 1 Bab 5 KSSM

Mengenali empat lokasi pembentukan tamadun awal dunia dan memahami sumbangan tamadun awal dunia.
TaraHap - Mengenali empat lokasi pembentukan tamadun awal dunia dan memahami sumbangan tamadun awal dunia.

Tamadun Awal Dunia: Tingkatan 1 Bab 5
Tamadun Awal Dunia
Tamadun Awal Dunia bermula di Mesopotamia, Mesir Purba, Lembah Indus dan Huang He.

Keempat-empat tamadun ini terletak di kawasan lembah sungai yang mempengaruhi perkembangan setiap tamadun tersebut.

Interaksi manusia dengan cabaran alam sekitar telah membawa kepada peningkatan cara hidup.

Masyarakat dalam tamadun awal dunia ini membuktikan manusia mampu membina negara-kota dan hidup di bawah sistem berkerajaan yang menjadi asas kepada perkembangan tamadun manusia pada hari ini.


Empat Lokasi Tamadun Awal Dunia

Terdapat empat tamadun awal manusia di dunia, iaitu Tamadun Mesopotamia, Tamadun Mesir Purba, Tamadun Indus dan Tamadun Huang He (Hwang Ho).

Keempat-keempat tamadun ini bermula dan berkembang di kawasan lembah sungai yang memainkan peranan penting dalam pembentukan tamadun awal dunia.

Kepentingan sungai kepada manusia pada masa itu ialah membekalkan air bagi tanaman, membuat kawasan petempatan dan menjadi alat perhubungan. Lokasi keempat-empat tamadun tersebut dapat dilihat melalui peta di bawah.


 Perkembangan Empat Tamadun Awal Dunia


Tamadun Mesopotamia

Tamadun Mesopotamia merupakan tamadun terawal dunia yang terletak di barat daya Asia.

Mesopotamia bermaksud tanah di antara dua sungai, iaitu Sungai Tigris dan Sungai Euphrates yang mengalir dari kawasan pergunungan Turki sehingga tanah pamah di Iraq.

Tamadun ini telah berkembang dari petempatan awal Zaman Neolitik antara tahun 5,000 SM hingga 700 SM. Pada sekitar tahun 3,500 SM, wilayah Mesopotamia telah berkembang menjadi pusat tamadun awal.

Terdapat beberapa kerajaan dalam tamadun ini. Antaranya termasuklah Sumeria, Babylon, Akkad, Chaldea dan Asyria.

Kerajaan terawal ialah kerajaan Sumeria yang bermula pada tahun 3,500 SM dan kerajaan yang terakhir ialah Chaldea yang runtuh pada tahun 539 SM. Tamadun di Mesopotamia bermula di wilayah selatan, iaitu Sumer.

Orang Sumeria telah berhijrah ke wilayah ini dan membina petempatan serta menjalankan aktiviti pertanian melalui kerja menebus guna tanah dengan membina sistem pengairan yang membolehkan mereka mengawal pengaliran air sungai. Mereka juga berjaya membina sistem perbandaran.


Ciri Utama Kerajaan Sumer

  • Bandar Maju
  • Pengkhususan Pekerjaan
  • Institusi yang Kompleks
  • Pengurusan Simpan Kira
  • Peningkatan Teknologi


Di Lembah Sungai Tigris dan Sungai Euphrates, terdapat kawasan subur yang luas dalam oasis di tengah-tengah gurun dan gunung.

Kawasan ini dipanggil Bulan Sabit Subur, iaitu terletak di antara Laut Mediterranean dan Teluk Parsi. Kawasan ini telah berkembang menjadi sebuah bandar yang besar.

Struktur bandar ini dibina daripada tanah liat yang dijadikan bata. Tempat ibadat dibina di setiap pusat bandar. Binaannya berbentuk piramid yang dipanggil zigurat. Bagi tujuan pertahanan, dinding besar dibina mengelilingi setiap bandar.

Petempatan awal yang berbentuk perkampungan ini berkembang secara evolusi kepada bandar dan seterusnya kepada beberapa buah negara-kota.

Negara-kota ini berperanan sebagai pusat perdagangan dan pelabuhan. Penduduknya berjumlah 30,000 orang. Terletak di Sungai Euphrates berhampiran Teluk Parsi, Ur menjadi tempat pertemuan pedagang dari jauh seperti India.

Pada hari ini, kawasan Mesopotamia melibatkan Iraq, Syria, Turki dan Iran termasuk kawasan sempadan Turki-Syria dan sempadan Iran-Iraq.


Tamadun Mesir Purba

Tamadun Mesir Purba terletak di kawasan lembah Sungai Nil. Sungai Nil merupakan sungai terpanjang di dunia dengan kepanjangan sejauh 6,650 kilometer.

Piramid dan Firaun merupakan tinggalan terkenal tamadun ini. Terdapat tiga tahap pemerintahan kerajaan dalam tamadun Mesir Purba, iaitu kerajaan purba, kerajaan pertengahan dan kerajaan baru.

Mengapakah Mesir dikatakan Hadiah Sungai Nil? Menurut Herodotus (484-432M), Mesir dikatakan Hadiah Sungai Nil (The Gift of The Nile) kerana Sungai Nil yang membanjiri kawasan sekitarnya setiap tahun membawa lumpur berwarna hitam yang subur untuk pertanian.

Kawasan yang subur ini terletak di Lembah Nil yang merupakan antara kawasan lembah yang terbesar di dunia. Sungai Nil juga membekalkan sumber makanan terutamanya ikan kepada penduduk selain menjadi sumber perhubungan dan pengangkutan terpenting.

Kepentingan Sungai Nil mempengaruhi petempatan di kawasan ini yang kemudian berkembang menjadi negara-kota.


Kerajaan Purba
Petempatan terawal di Mesir Purba bermula dengan perkampungan petani pada tahun 5,000 SM. Perkampungan ini membentuk dua buah kerajaan.

Kerajaan utara terletak di hilir Sungai Nil melibatkan kawasan Lembah Sungai Nil. Suhu kawasan ini lebih sejuk berbanding dengan di selatan.

Kerajaan di selatan terletak di hulu Sungai Nil. Kawasan ini merupakan kawasan yang terbentang luas berhadapan dengan padang pasir.

Kedua-dua kerajaan Mesir Purba telah disatukan sekitar tahun 3,100 SM oleh Raja Mennes yang menawan kerajaan utara. Raja Mennes telah membuka bandar Memphis yang kemudian menjadi ibu kota kerajaannya.

Perkembangan kerajaan purba mencapai kemuncak pada tahun 2,650 SM.


Kerajaan Pertengahan
Kerajaan kedua dikenali sebagai Kerajaan Pertengahan yang bermula sekitar tahun 2,100 –1,650 SM. Pada zaman ini berlaku perkembangan bidang kesusasteraan dan ukiran.

Kerajaan Pertengahan meluas hingga selatan Sungai Nil. Kekuatan raja telah membawa kestabilan dan kemakmuran ekonomi. Ibu kota kerajaan ini ialah Thebes. Pemerintahnya telah menggalakkan kegiatan perdagangan menggunakan jalan sungai.

Kerajaan Pertengahan telah mengadakan hubungan perdagangan dengan Nubia yang terletak di bahagian selatan Mesir. Para pedagang yang melalui jalan perdagangan Mesir menghadapi ancaman serangan penjahat.

Raja Mesir bertindak menghantar tentera bagi melindungi pedagang, manakala penduduk Mesir membina kubu di sepanjang Sungai Nil. Mereka juga mengambil alih kuasa kota Nubia.



Kerajaan Baru
Kerajaan Baru muncul apabila golongan bangsawan memerintah Mesir. Pemerintahnya digelar Firaun yang telah membentuk pasukan tentera yang kuat bagi mematahkan serangan orang luar.

Raja yang terkenal semasa zaman Kerajaan Baru Mesir ialah Ramses. Ramses telah membina banyak monumen terkenal berupa berhala.

Zaman kejatuhan kerajaan baharu Mesir bermula apabila Ramses II memerintah dari tahun 1,279 – 1,213 SM.


Tamadun Indus

Tamadun Indus terletak di Lembah Sungai Indus, iaitu di bahagian barat laut dan utara India.

Kawasan ini dikelilingi oleh Banjaran Makran, pergunungan Baluchistan, Punjab dan Rajasthan di bahagian timur, serta Kathiawar dan Gujerat di bahagian tenggara.

Tamadun ini bermula pada tahun 2,500 SM. Di bahagian barat laut India , terdapat penduduk yang mengamalkan kehidupan secara nomad.

Mereka telah membentuk petempatan kekal di sepanjang Lembah Sungai Indus. Lembah Sungai Indus mempunyai dua musim yang ekstrem. Musim hujan yang membawa banjir dan musim kering yang membawa kemarau.

Kedua-dua musim ini menyebabkan tanaman musnah. Banjir pula berlaku di luar jangkaan penduduk. Sungai kadangkala berubah arah aliran. Pusingan musim kering dan hujan pula tidak menentu.

Cuaca kering dan keadaan kemarau ini menyebabkan kemusnahan tanaman. Hujan lebat yang berterusan menyebabkan berlakunya banjir yang memusnahkan kawasan petempatan.

Penduduk Lembah Sungai Indus bergiat aktif dalam pertanian. Mereka menanam pokok gandum, barli dan kapas. Dalam masa yang sama wujud kegiatan lain, seperti pembuatan barangan daripada kapas dan besi.

Hubungan perdagangan berlaku antara penduduk Lembah Sungai Indus dengan penduduk di bahagian selatan Mesopotamia. Kawasan ini kemudian berkembang menjadi bandar.

Terdapat dua buah bandar terancang terkenal yang dibina dalam tamadun ini, iaitu Mohenjo-Daro dan bandar Harappa. Perancangan bandar Harappa membuktikan penduduknya telah mencapai tahap tamadun yang tinggi. Kotanya dikelilingi oleh dinding bata yang tebal sepanjang 4.8 kilometer.

Dinding ini dibina bagi mengelakkan banjir. Di dalam kota dibina benteng bagi melindungi keluarga diraja. Jalan raya dibina selebar 30 kaki. Dinding memisahkan daerah perumahan antara satu sama lain. Rumah pula pelbagai saiz, ada yang dibina setinggi tiga tingkat

Pada masa ini, jurutera telah mencipta sistem paip dan pembentungan yang canggih. Menjelang tahun 1,750 SM, Tamadun Indus mula mengalami kemerosotan. Ahli sejarah berusaha mencari sebab kemerosotan tamadun ini.

Pada tahun 1970-an, ahli sejarah menemukan punca kemerosotan ini. Imej satelit menunjukkan terdapat pergerakan plat bumi yang menyebabkan berlakunya gempa bumi dan banjir. Selain itu, serangan orang Aryan mempercepat keruntuhan kerajaan Tamadun Indus.


Tamadun Huang He

Tamadun Huang He terbina di kedudukan dua sungai utama yang mengalir dari kawasan pergunungan di sebelah barat ke Lautan Pasifik.

Sungai Huang He atau dikenali juga sebagai Sungai Kuning terletak di kawasan utara negara China, manakala Sungai Yangtze di bahagian tengah China mengalir ke timur hingga ke Laut Kuning.

Huang He bermaksud Sungai Kuning yang menyimpan banyak lumpur kekuningan yang subur. Seperti tamadun awal yang lain, sungai menjadi nadi utama dalam pembentukan Tamadun Huang He.

Masyarakat awal China telah membina petempatan dan menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan binatang selain mengumpul hasil hutan dan berburu di sepanjang Sungai Huang He.

Penduduk di kawasan ini turut menghadapi banjir disebabkan oleh limpahan air Sungai Huang He yang menenggelamkan keseluruhan kampung.

Hal ini ditambah pula dengan kedudukan geografi tamadun ini yang terpencil, menyebabkan penduduk awal tamadun ini hanya dapat menghasilkan makanan sendiri dan tidak berdagang dengan orang luar.

Tamadun Huang He telah bermula kira-kira 4,000 SM. Terdapat tiga kerajaan awal, iaitu Xia 2,205 – 1,766 SM, Shang 1,766 – 1,050 SM dan Zhou 1,050 – 256 SM.

Perkembangan petempatan kerajaan awal ini telah melahirkan beberapa buah bandar Huang He, antaranya termasuklah Anyang. Bandar ini merupakan pusat kerajaan Dinasti Shang.

Semasa Dinasti Zhou, tamadun ini tersebar hingga ke bahagian selatan Sungai Yangtze. Antara aktiviti utama tamadun ini selain pertanian termasuklah membuat tembikar, membina kapal, menghasilkan varnis, sutera, sulaman dan ukiran.

Kemajuan aktiviti pertanian dalam tamadun ini telah membawa kepada penghasilan ciptaan daripada kayu dan logam yang digunakan sebagai peralatan pertanian.


Pembentukan tamadun awal dunia yang bermula di kawasan lembangan sungai telah berkembang menjadi bandar. Pertambahan jumlah penduduk menyebabkan kegiatan ekonomi yang berasaskan hasil pertanian berkembang dalam bidang lain.

Pembukaan bandar telah mewujudkan sistem pemerintahan, sistem pentadbiran, sistem pengairan dan kegiatan perdagangan. Hal ini memakmurkan dan menjadikan kehidupan manusia bertambah baik.


Perbandingan Sumbangan Tamadun Awal

Empat tamadun awal dunia telah memberikan sumbangan besar kepada pemodenan kehidupan masyarakat pada hari ini. Peningkatan tamadun melalui reka cipta dalam pelbagai bidang telah meningkatkan nilai kehidupan manusia sejagat. Setiap tamadun awal dunia ini mempunyai kelebihan dalam bidang masing-masing.

Pemerintahan dan Pentadbiran

Tamadun Mesopotamia
Kerajaan Mesopotamia terkenal kerana mempunyai kerajaan yang kukuh di bawah pemerintah yang bernama Hammurabi.

Hammurabi telah membina bangunan dan memperbaik sistem pungutan cukai serta meningkatkan kegiatan perdagangan. Usaha ini telah membawa kemakmuran kepada Empayar Babylon.

Hammurabi juga terkenal kerana mewujudkan undang-undang yang dikenali sebagai Kod Undang-undang Hammurabi yang mengandungi kira-kira 282 perkara yang merangkumi hal perdagangan, kecurian, denda dan hukuman.

Tamadun Mesir Purba
Di Mesir Purba, raja dikenali sebagai Firaun yang berperanan membentuk kestabilan dan kemakmuran ekonomi. Firaun telah menggalakkan kegiatan perdagangan menggunakan jalan sungai.

Apabila pedagang menghadapi ancaman serangan penjahat, raja Mesir telah bertindak menghantar tentera bagi melindungi pedagang. Langkah ini telah berjaya mewujudkan keamanan di Mesir Purba.

Tamadun Indus
Sistem pemerintahan Lembah Sungai Indus diterajui oleh golongan pendeta. Kajian yang dijalankan oleh ahli arkeologi menunjukkan tidak terdapat bukti kewujudan pemerintahan beraja di Lembah Sungai Indus.

Oleh itu, golongan pendeta mempunyai pengaruh dalam bidang keagamaan dan pentadbiran.

Tamadun Huang He
Tamadun ini mementingkan peranan raja sebagai pemerintah yang membawa mandat daripada syurga. Sistem pemerintahannya berasaskan kepada dinasti.

Dalam kepercayaan masyarakat China, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada tuhan untuk memerintah.


Kegiatan Ekonomi

Tamadun Mesopotamia
Kegiatan ekonomi atau pengkhususan pekerjaan berlaku apabila wujudnya lebihan hasil pertanian.

Masyarakat yang sebelum ini bekerja sebagai petani telah bertukar pekerjaan menjadi peniaga, pedagang dan artisan.

Aktiviti perdagangan telah meluas sehingga ke kawasan Lembah Indus. Terdapat pengusaha tekstil, barangan tembikar dan alat keperluan harian.

Selain itu, pertambahan penduduk menyebabkan peningkatan permintaan tukang rumah bagi pembinaan rumah.

Tamadun Indus
Pelbagai kegiatan ekonomi dijalankan seperti perdagangan, pertanian, pertukangan dan pembuatan.

Aktiviti perdagangan turut dijalankan dengan pedagang dari Mesopotamia. Antara hasil perdagangan yang penting termasuklah emas, gading gajah, manik dan hasil pertanian.

Petani pula menjalankan aktiviti bercucuk tanam terutamanya bagi tanaman makanan seperti barli dan kacang.

Selain itu, terdapat penduduk menjadi artisan yang terlibat dalam penghasilan barangan logam dan tembikar.

Tamadun Mesir Purba
Wujud pengkhususan pekerjaan dalam bidang penenunan dan pembuatan barang tembikar dan peralatan harian.

Eksport utama ialah tekstil dan kertas. Di samping itu, terdapat kegiatan perlombongan emas.

Sungai Nil yang lebar dan dalam membolehkan kapal-kapal dagang menyusurinya dan berlabuh di pelabuhan-pelabuhan seperti Thebes, Memphis dan Elephantine.

Tamadun Huang He
Dalam aspek ekonomi, tamadun ini telah memberikan banyak sumbangan. Masyarakat dalam tamadun ini juga amat prihatin terhadap pembangunan pertanian.

Terusan dibina untuk mengairi kawasan pertanian. Pembangunan dalam pertanian juga membawa kemajuan dalam teknologi pembajakan dan penciptaan cangkul dan sabit.



Teknologi

Tamadun Mesopotamia
Sumbangan tertinggi masyarakat Sumer dalam Tamadun Mesopotamia ialah penciptaan tulisan, penciptaan roda, bidang perubatan, bidang astronomi dan bidang matematik.

Tamadun ini menggunakan sistem nombor berasaskan 60. Mereka membahagikan masa kepada 60 minit. Mereka juga membahagikan bulatan kepada 360 darjah.

Selain itu, mereka mencipta formula bagi mengira pelbagai bentuk geometri, bulatan dan segi tiga.

Ahli-ahli astronomi Mesopotamia pula mencerap pergerakan bulan, planet dan bintang.


Tamadun Mesir Purba
Masyarakat zaman Mesir Purba juga melakukan reka cipta sains dan teknologi. Hasil cipta yang terkemuka adalah dalam bidang astronomi, matematik, perubatan, bahasa dan seni bina.

Masyarakat zaman ini merupakan antara masyarakat yang terawal menulis dan menyimpan rekod sesuatu peristiwa. Bentuk penulisan terawal dikenali sebagai hieroglif.

Orang Mesir Purba menghasilkan kertas yang dipanggil papirus dan mencipta dakwat hitam. Tulisan di atas papirus adalah untuk menulis teks agama dan dokumen penting.

Tamadun Indus
Masyarakat Lembah Indus mencapai kebolehan mengukur sukatan panjang dan masa dengan tepat. Mereka merupakan masyarakat terawal yang mencipta sistem menyukat berat dan sukatan.

Batu-bata yang dibina mengikut ukuran saiz yang tepat. Kebolehan lain yang dimiliki oleh masyarakat ini ialah mencipta tembaga, gangsa dan timah.

Kemuncak pencapaian tamadun ini dapat dilihat melalui pembinaan bandar terancang di Mohenjo-Daro yang sistematik.

Tamadun Huang He
Masyarakat Tamadun Huang He mencipta tulisan daripada lukisan. Selain itu, mereka mencipta alat-alat pertanian daripada kayu dan besi.

Penghasilan alat pertanian banyak membantu petani dalam kegiatan pertanian, khususnya penanaman padi. Masyarakat tamadun ini juga terlibat dalam penciptaan benang sutera, mata wang syiling dan penciptaan kompas magnetik.


Kesenian dan Kesusasteraan

Tamadun Mesopotamia
Masyarakat pada zaman ini telah mula mengukir pada batu bagi merakamkan peristiwa yang berlaku.

Tulisan epik Enuma Elish yang menceritakan kisah Apsu dan Tiamat, iaitu kisah epik orang Babylon.

Tamadun Mesir Purba
Masyarakat Mesir Purba mempunyai kebolehan menghasilkan hasil seni berbentuk lukisan yang terkenal di dunia. Lukisan terdapat pada dinding-dinding bangunan serta kuil.

Lukisan dinding yang menunjukkan raja Mesir sedang disapa oleh dewa wanita.

Tamadun Indus
Masyarakat pada zaman Tamadun Indus menghasilkan kerja logam terutamanya tembaga, gangsa dan batu permata.

Ahli seni Tamadun Indus menghasilkan patung yang diperbuat daripada batu dan logam.

Tamadun Huang He
Masyarakat Tamadun Huang He juga berjaya mencipta puisi yang romantik dan lirik dalam pelbagai bentuk tradisi masyarakat. Kemahiran utama masyarakat Huang He ialah penghasilan tembikar.

Semasa kerajaan Dinasti Shang masyarakatnya telah menghasilkan hasil cipta yang diperbuat daripada tembaga.


Sumbangan tamadun awal memperlihatkan kemampuan manusia meningkatkan kemajuan dalam kehidupan.

Perkembangan aktiviti pertanian di kawasan lembah sungai membawa kepada pembentukan bandar dan negara-kota yang lebih tersusun dan sistematik.

Perkembangan ini menyumbang kepada kemajuan sistem pemerintahan, kegiatan ekonomi, teknologi, kesenian dan kesusasteraan termasuklah pembinaan monumen.

Perkembangan tamadun awal ini mempengaruhi kehidupan manusia sehingga hari ini.


Kesimpulan

Mengetahui Lokasi dan Perkembangan Tamadun Awal

Lokasi empat tamadun awal mempunyai persamaan, iaitu terletak di lembangan sungai. Tamadun Mesopotamia terletak di antara Sungai Tigris dan Sungai Euphrates.

Tamadun Mesir Purba terletak di lembah Sungai Nil. Tamadun Indus pula berada di kawasan Sungai Indus, manakala Tamadun Huang He berada di Sungai Kuning.

Membandingkan sumbangan tamadun awal dan sumbangan kepada kehidupan masyarakat hari ini

Perbandingan tamadun awal dunia dapat dilihat dari sudut pemerintahan dan pentadbiran, kegiatan ekonomi, teknologi, kesenian dan kesusasteraan, serta binaan bangunan dan kemudahan. Setiap tamadun mempunyai keunikan dan sumbangan masing-masing.


Bab ini telah menjelaskan tentang lokasi empat tamadun awal yang memberikan sumbangan kepada tamadun dunia.

Pengetahuan kepada perkembangan tamadun awal dunia ini menunjukkan kepentingan alam sekitar dengan kehidupan manusia.

Hal ini menjelaskan perlunya kita menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh masyarakat dahulu, khususnya dari segi menghargai sungai dan sumber alam.

Sumbangan tamadun awal dunia ini menjadi inspirasi kepada perkembangan dan peningkatan tamadun manusia pada hari ini. Bab seterusnya akan membincangkan tentang peningkatan tamadun Yunani, Rom, India dan China.


Arif dan Peka Sejarah

Nilai, Patriotisme dan Iktibar

Dengan mempelajari tamadun awal dunia, kita perlu sentiasa bersifat tabah dan berdaya tahan dalam menghadapi setiap cabaran untuk meneruskan kehidupan masa depan.

Pengetahuan tentang kemunculan tamadun awal dunia mendidik kita supaya berbangga dengan tradisi dan budaya bangsa. Penghayatan terhadap warisan dan budaya kebangsaan akan membentuk sikap patriotisme dan sikap berbangga sebagai rakyat Malaysia.

Untuk Diri dan Keluarga
Sentiasa meningkatkan pengetahuan dan keterampilan diri sebagai persediaan menghadapi cabaran yang mendatang. Antaranya termasuklah menambah baik kemahiran kendiri seperti kemahiran komunikasi.

Untuk Negara
Pengetahuan dan keterampilan diri amat penting untuk menjalinkan hubungan sosial dengan pelbagai pihak sama ada pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Sifat berdaya tahan dan berdaya saing akan dapat memastikan sumbangan kita kepada negara pada masa depan.


Posting Komentar