your code goes here

Mengenali Tamadun: Tingkatan 1 Bab 4 KSSM

Tamadun merupakan proses meningkatkan kemajuan kehidupan manusia menjadi lebih baik.
TaraHap - Mengenali Tamadun, Konsep dan Ciri-ciri Tamadun Awal Dunia

Mengenali Tamadun, Konsep dan Ciri-ciri Tamadun Awal Dunia
Mengenali Tamadun Awal Dunia
Tamadun merupakan proses meningkatkan kemajuan kehidupan manusia menjadi lebih baik. Pada umumnya, bahasa Yunani, bahasa Inggeris dan bahasa Arab menakrifkan tamadun sebagai pencapaian kemajuan manusia.

Tamadun awal manusia bermula di lembah sungai dan terus berkembang sehingga hari ini. Pertambahan jumlah penduduk yang ramai di kawasan lembah sungai telah menyebabkan pembukaan bandar.

Oleh itu, manusia telah melakukan inovasi dengan menggunakan kreativiti untuk menambah baik kehidupan mereka.

Maksud Tamadun 

Mengenali Tamadun, Konsep dan Ciri-ciri Tamadun Awal Dunia
Patung di pintu masuk tempat ibadat Hatshepsut di Luxor

Pengenalan Tentang Tamadun

Pada umumnya, tamadun ditakrifkan sebagai suatu pencapaian tertinggi oleh sesuatu masyarakat dalam pelbagai bidang.

Antaranya termasuklah kegiatan pertanian dan perdagangan, sistem pemerintahan, pembentukan bandar, pengkhususan pekerjaan, teknologi, organisasi sosial, agama dan kepercayaan, tulisan dan penyimpanan rekod, serta kesenian dan kesusasteraan.

Perubahan kehidupan manusia ini didorong oleh daya inovasi sesuatu masyarakat.


Maksud Tamadun Dalam Bahasa Yunani

Dari segi pengertian bahasa, perkataan tamadun (civilisation) diambil daripada perkataan Yunani, iaitu “civitas” yang bermaksud bandar atau kota.

Tahap kemajuan dalam kehidupan masyarakat dicapai dalam bidang kebudayaan, sains, industri dan sistem kerajaan.


Maksud Tamadun Dalam Bahasa Inggeris

Dalam bahasa Inggeris, tamadun disebut civilisation, iaitu tahap pembangunan manusia dan organisasi yang dianggap paling maju.

Tahap pembangunan tersebut merangkumi pengetahuan, kepercayaan, seni, moral, undang-undang, adat dan kebolehan manusia atau organisasi.


Maksud Tamadun Dalam Bahasa Arab

Perkataan tamadun dalam bahasa Arab ialah mudun, madain dan madana, yang bermaksud tinggi budi bahasa dan pembukaan bandar.

Istilah lain yang sama pengertiannya ialah hadharah dan hadari. Hadharah bermaksud kawasan, daerah, bandar, kota, kampung dan kawasan yang digunakan untuk bercucuk tanam.

Hadari pula bermaksud tanah atau rumah yang didiami oleh masyarakat, tahap kemajuan dan memperoleh kekayaan.


Maksud Tamadun Dalam Bahasa Melayu

Dalam bahasa Melayu, tamadun bermaksud suatu peradaban yang merujuk kepada pencapaian kemajuan masyarakat dari segi kebendaan serta perkembangan pemikiran meliputi bidang sosial, budaya, politik dan lain-lain yang tinggi.

Kemajuan kebendaan merujuk kepada pencapaian dalam penciptaan seni bina seperti bangunan dan empangan serta sistem ekonomi, seperti percukaian dan kewangan; dan hasil cipta seperti membuat kertas, lukisan dan ukiran.


Tamadun penting bagi membina kemajuan dan kemodenan kehidupan manusia yang teratur dalam sesebuah sistem masyarakat.

Walaupun terdapat perbezaan maksud tamadun menurut bahasa Yunani, bahasa Inggeris, bahasa Arab dan bahasa Melayu, tetapi terdapat persamaan yang jelas, iaitu kemajuan yang dicapai oleh masyarakat untuk membina kehidupan yang lebih baik dan kompleks.

Bandingkan maksud perkataan tamadun dalam bahasa Yunani, bahasa Inggeris dan bahasa Arab.


Konsep Tamadun Menurut Pandangan Islam dan Barat

Sudut Pandangan Islam

Mengenali Tamadun, Konsep dan Ciri-ciri Tamadun Awal Dunia
Ibn Khaldun
Konsep tamadun dalam Islam dibina atas kerangka Islam sebagai al-Din (cara hidup). Tamadun mengikut pandangan Islam merangkumi pembangunan lahiriah dan rohaniah yang berasaskan nilai dalam pendidikan seperti yang disarankan oleh al-Quran dan hadis serta ajaran Nabi Muhammad SAW.

Ibn Khaldun ialah tokoh awal yang membicarakan tentang konsep tamadun Islam. Beliau memperkenalkan konsep tamadun, iaitu “umran” dan “hadharah” yang digunakan dalam bukunya yang bertajuk Muqqadimah.

“Hadharah” mengandungi prinsip-prinsip nilai meliputi aspek akidah, syarak, akhlak, falsafah, kebudayaan dan peradaban.

“Madaniyyah” pula lebih menjurus kepada aspek kebendaan dalam kehidupan dan lebih bersifat umum kepada semua manusia.

Kedua-duanya bermaksud perbandaran dan tamadun. Istilah “hadharah” dan “madaniyyah” ini lebih menepati konsep tamadun dalam Islam dan berpusat kepada wahyu.

Syed Muhammad Naquib Al-Attas pula berpendapat tamadun ialah keadaan kehidupan insan bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya.

Beliau menulis pelbagai buku dalam bidang pemikiran dan peradaban. Antaranya termasuklah Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu dan Historical Fact and Fiction.


Sudut Pandangan Barat

Mengenali Tamadun, Konsep dan Ciri-ciri Tamadun Awal Dunia
Arnold J. Toynbee
Dalam tradisi Barat, istilah “civilisation” digunakan bagi menggambarkan tahap sesuatu masyarakat atau budaya yang kompleks.

Lazimnya, masyarakat bertamadun diukur melalui pencapaian ilmu dan teknologi, ekonomi, struktur politik, kemasyarakatan dan petempatan di kawasan perbandaran.

Bagi masyarakat Barat, tamadun dikaitkan dengan pembangunan lahiriah terutamanya dalam bidang kebudayaan seperti kesenian, penulisan, undang-undang dan perbandaran.

Arnold J. Toynbee menjelaskan tamadun sebagai suatu sistem masyarakat yang memperkasakan sistem politik, ekonomi, sosial serta kesenian dan kebudayaan.


Konsep tamadun meliputi semua pencapaian kehidupan masyarakat dalam bidang sosial dan budaya serta pemikiran.


Ciri-ciri Tamadun Awal Dunia

Tamadun awal dunia lahir di lembah sungai, iaitu di Lembah Sungai Tigris dan Euphrates, Sungai Nil, Sungai Indus dan Sungai Huang He.

Ciri-ciri tamadun awal dunia ialah pencapaian yang hebat dalam bidang pertanian dan perdagangan, sistem pemerintahan, pembentukan bandar, pengkhususan pekerjaan, teknologi, organisasi sosial, agama dan kepercayaan, tulisan dan penyimpanan rekod, serta kesenian dan kesusasteraan

9 Ciri-ciri Tamadun Awal Dunia

  • 1. Pertanian dan Perdagangan
  • 2. Sistem Pemerintahan
  • 3. Pembentukan Bandar
  • 4. Pengkhususan Pekerjaan
  • 5. Teknologi
  • 6. Organisasi Sosial
  • 7. Agama dan Kepercayaan
  • 8. Tulisan dan Penyimpanan Rekod
  • 9. Kesenian dan Kesusasteraan



1. Pertanian dan Perdagangan

Kehidupan masyarakat tamadun awal mulai berkembang apabila terdapat kegiatan pertanian.

Penciptaan pelbagai peralatan, pembinaan saliran, penciptaan kincir angin dan pembinaan teres di tanah tinggi telah menggalakkan kegiatan pertanian dalam kalangan masyarakat.

Perkembangan ini seterusnya telah mewujudkan kegiatan perdagangan.

Pertama, perdagangan tempatan, iaitu masyarakat yang tinggal di kota mendapatkan makanan dan barangan pertanian dengan menukarkan barangan kraf tangan dan perkhidmatan termasuklah kegiatan keagamaan.

Kedua, perdagangan jarak jauh, iaitu masyarakat dari kawasan tamadun yang berbeza bertukar-tukar barangan dengan penduduk yang mempunyai bahan mentah, seperti logam, emas dan besi.

Berlaku kegiatan perdagangan antara masyarakat Sumer dengan Mesir dan antara masyarakat Sumer dengan Mohenjo-Daro.


2. Sistem Pemerintahan

Kerajaan telah dibentuk untuk mengurus pemerintahan kota yang berkembang pesat kesan daripada pembentukan bandar.

Pada peringkat awal, pemerintahan negara-kota diketuai oleh pendeta tetapi kemudiannya raja mengambil alih peranan sebagai pemerintah.

Raja telah dibantu oleh pegawai daripada golongan bangsawan dan pendeta memerintah negara-kota. Selain itu, bagi melicinkan urusan pentadbiran negara, undang-undang telah dibentuk.


3. Pembentukan Bandar

Perkembangan dalam bidang pertanian menyebabkan manusia mula membina petempatan kekal. Kewujudan petempatan kekal di sesebuah kawasan bermula dengan kampung.

Apabila berlaku pertambahan penduduk, kawasan kampung berkembang dan disatukan membentuk bandar. Bandar mempunyai jumlah penduduk yang lebih ramai dan mempunyai pelbagai latar belakang.

Antara ciri-ciri bandar termasuklah:

  • Pelan susun atur bangunan dan petempatan yang tersusun. Rumah kediaman mempunyai kemudahan perigi, bilik mandi dan tandas. 
  • Kemudahan prasarana yang teratur dan sistematik seperti pasar, rumah ibadat dan kawasan kediaman.  
  • Pembinaan sistem perparitan dan pembetungan.  
  • Pembinaan kota untuk berlindung daripada serangan orang luar dan menjadi kawasan sempadan. 


Pada peringkat awal, bandar menjadi pusat kegiatan politik, ekonomi dan kebudayaan bagi kawasan sekitarnya.

Kemudian, bandar berkembang menjadi institusi sosial dan ekonomi yang tersusun, yang menjadi asas kepada kelahiran tamadun awal dunia.

Bandar pertama dibina pada tahun 4,000 SM. Kota-kota utama pada peringkat tamadun awal ialah Ur dan Uruk berhampiran Sungai Tigris dan Euphrates, Memphis di Sungai Nil, Mohenjo-Daro di Sungai Indus dan Anyang di Sungai Huang He.


4. Pengkhususan Pekerjaan

Perkembangan pesat bandar telah meningkatkan jumlah penduduk. Hal ini secara tidak langsung telah mewujudkan pengkhususan dalam bidang pekerjaan.

Terdapat lebih banyak peluang pekerjaan baharu, seperti pengutip cukai, jurutera yang mengawal sistem pengairan sungai, tentera, petani yang bekerja di sawah, dan mereka yang bekerja dalam bidang pentadbiran.

Kumpulan artisan pula menumpukan masa mereka dalam kerja mengukir, menempa besi dan tembikar. Selain itu, saudagar dan pedagang bertukar-tukar barangan yang dihasilkan oleh golongan artisan.


5. Teknologi

Kemahiran dalam bidang teknologi oleh masyarakat tamadun awal telah menghasilkan penciptaan barangan dan monumen serta hasil pertukangan. Hasil ciptaan ini telah memberikan keselesaan kepada masyarakat.

Tamadun Mesopotamia terkenal dengan Taman Tergantung Babylon. Tamadun Mesir Purba pula terkenal dengan pembinaan Piramid dan Sfinks, manakala Tamadun Indus terkenal dengan pembinaan negara-kota Mohenjo-Daro.

Penggunaan teknologi dalam pembuatan logam tembaga, gangsa dan besi pula menghasilkan peralatan seperti bajak untuk pertanian.

Selain itu, penciptaan roda telah membantu penggunaan kereta kuda dan kereta lembu untuk tujuan mengangkut hasil pertanian dan perhubungan penduduk.


6. Organisasi Sosial

Dalam masyarakat Mesir Purba, kemunculan institusi dan golongan pekerja telah mewujudkan kelas sosial.

Kelas sosial berasaskan jenis pekerjaan, kekayaan dan pengaruh. Pada peringkat tamadun awal, pemerintah, firaun, golongan agama dan golongan bangsawan berada pada kedudukan tertinggi dalam susunan masyarakat.


Golongan saudagar dan artisan berada dalam kelas kedua. Di bawah mereka ialah golongan petani dan pekerja yang tidak berkemahiran.

Golongan hamba berada pada kedudukan paling rendah. Hamba terdiri daripada dua kumpulan, iaitu hamba perang dan hamba yang dijual.


7. Agama dan Kepercayaan

Masyarakat tamadun awal mempercayai banyak tuhan. Antara tuhan yang disembah termasuklah tuhan bulan, matahari, ibu dan sungai.

Terdapat institusi agama yang mengurus upacara keagamaan, seperti korban binatang atau mempersembahkan makanan kepada kuasa roh.

Dalam hal ini, tempat ibadat yang besar dibina sebagai tanda menghormati tuhan. Di Mesir misalnya, penduduk mempercayai kehidupan selepas kematian.


8. Tulisan dan Penyimpanan Rekod

Sistem tulisan mula lahir kira-kira 5,000 tahun lalu. Penciptaan tulisan penting bagi membezakan kehidupan Zaman Prasejarah dan sejarah.

Kemudian, manusia mencipta sistem tulisan yang lebih baik menggunakan abstrak simbol bagi mewakili pelbagai bentuk idea. Kelahiran tulisan membolehkan manusia menyimpan rekod dan perkara penting tentang masyarakat dan diri mereka.

Tulisan pertama menggunakan sistem piktograf atau simbol gambar.


9. Kesenian dan Kesusasteraan

Masyarakat pada zaman tamadun awal melahirkan hasil sastera dan seni bina yang mengagumkan. Gaya dan teknik yang digunakan oleh artis menggambarkan setiap budaya tamadun masing-masing.

Artis menghasilkan ciptaan berupa patung dan lukisan tuhan dan dewa, pahlawan dan pemerintah. Apabila penggunaan tembaga meluas, patung-patung dicipta menggunakan tembaga.


Ciri-ciri tamadun awal dunia memaparkan kehebatan pencapaian tamadun-tamadun dalam semua bidang kehidupan. Hal ini adalah asas pencapaian tertinggi manusia sehingga digelarkan tamadun hebat.

Kemajuan pemikiran menyumbang kepada hasil cipta idea dalam kalangan masyarakat untuk membina tamadun yang lebih tinggi.

Hasil cipta telah membantu manusia membina kehidupan yang lebih baik terutamanya dalam pembinaan bangunan dan teknologi pertanian.

Kewujudan tamadun awal dunia menjadi pencetus inovasi kepada masyarakat pada hari ini.


Kesimpulan

Mengenali Tamadun

Tamadun bermaksud pencapaian yang tinggi dalam semua aspek kehidupan yang meningkatkan kehidupan manusia menjadi lebih maju.

Konsep Tamadun

Konsep tamadun dalam Islam merangkumi pembangunan lahiriah dan rohaniah. Konsep tamadun Barat pula merujuk kepada pembangunan lahiriah terutamanya dalam bidang kebudayaan seperti kesenian, penulisan, undang-undang dan perbandaran

Ciri-ciri Tamadun Awal

1. Pertanian dan perdagangan.
2. Sistem pemerintahan.
3. Pembentukan bandar.
4. Pengkhususan pekerjaan.
5. Teknologi.
6. Organisasi sosial.
7. Agama dan kepercayaan.
8. Tulisan dan penyimpanan rekod.
9. Kesenian dan kesusasteraan.


Bab ini telah menjelaskan maksud tamadun, konsep tamadun dan ciri-ciri tamadun awal dunia. Apabila memahami perkara ini, kita dapat mengetahui lebih lanjut pembinaan tamadun yang dibina oleh masyarakat dahulu.

Bab seterusnya pula akan membincangkan perkembangan tamadun awal dunia yang bermula di lembah sungai.


Arif dan Peka Sejarah

Nilai, Patriotisme dan Iktibar

Memahami tamadun membolehkan kita mengenali masyarakat yang bertamadun, iaitu masyarakat yang mengamalkan tatasusila dan kehidupan beradab.

Oleh itu, kita perlu sentiasa berilmu dan beramal untuk kepentingan negara. Pengetahuan tentang pembentukan tamadun manusia mendidik kita supaya sentiasa berilmu dan berketerampilan seterusnya melibatkan diri dalam pembangunan negara.

Untuk Diri Sendiri
Sikap menghormati pendapat sesama ahli keluarga amat penting supaya kesepakatan dapat dicapai demi kelangsungan dan kesejahteraan keluarga. Selain itu, kita perlu melengkapkan diri dengan pembangunan kerohanian.

Untuk Negara
Kita perlu sentiasa berusaha memupuk kesedaran cinta akan warisan negara. Bagi memupuk semangat ini, kita perlu sentiasa mengamalkan sikap berkerjasama dan saling bersefahaman sesama ahli masyarakat.


Posting Komentar